Adakah lebih ramai orang muda mati kerana varian baharu, MMA soal kementerian

Adakah lebih ramai orang muda mati kerana varian baharu, MMA soal kementerian

3.7% kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan dari 31 Mac hingga 30 April adalah dalam kalangan mereka yang berumur antara 25 ke 34 tahun.

Persatuan Perubatan Malaysia berkata, data semasa menunjukkan lebih ramai golongan muda dijangkiti wabak Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mengesahkan sama ada peningkatan kes kematian dalam kalangan golongan muda berkait dengan varian baharu Covid-19.

Seorang epidemiologis berkata, 3.7% daripada kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan dari 31 Mac hingga 30 April adalah dalam kalangan mereka yang berumur antara 25 ke 34 tahun, berbanding 7.45% berumur 35 ke 44 tahun dan 11.2% berumur antara 45 ke 54 tahun.

Dalam surat kepada FMT, Dr Vinogiri KS juga berkata, 10 daripada 19 kematian bulan lepas terdiri daripada mereka yang berumur antara 23 dan 50 tahun.

Satu kes kematian di Sarawak baru-baru ini melibatkan seorang lelaki berumur 37 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya.

Dr Subramaniam Muniandy.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, perkembangan itu membimbangkan kerana varian baharu Covid-19 diketahui lebih mudah berjangkit, sementara yang lain boleh menyebabkan komplikasi dan simptom lebih teruk, malah kematian.

Beliau berkata, KKM perlu mengesahkan sama ada varian baharu ini berkait dengan kes kematian lebih tinggi dalam kalangan golongan muda, terutamanya setelah ia dikesan di negara ini.

“Data semasa menunjukkan lebih ramai orang muda dijangkiti Covid-19. Simptom lebih teruk, malah kematian juga dikesan meningkat dalam kalangan golongan itu.

“Selain itu orang muda mungkin mengalami kesan jangka panjang Covid-19 yang menyebabkan morboditi lebih menonjol. Individu yang dijangkiti di India kebanyakannya orang muda dan laporan menunjukkan simptom mereka lebih parah,” katanya.

Mengakui bahawa komorbiditi mungkin merupakan faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kematian dalam kalangan orang muda, Subramaniam berkata, faktor risiko lain ialah sekiranya mereka merokok.

Oleh sebab Covid-19 merupakan penyakit pernafasan, beliau menasihati mereka supaya berhenti merokok susulan risiko ia menyebabkan simptom lebih teruk daripada virus tersebut.

Beliau mengingatkan orang muda supaya tidak mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 walaupun mereka kurang terdedah kepada komplikasi daripada virus itu.

“Kita harus mengandaikan bahawa varian baharu Covid-19 sudah berada di keliling kita dan semua orang berisiko mengalami simptom lebih buruk, malah kematian jika gagal mengambil langkah pencegahan.

“SOP masih merupakan kunci utama dan perlu dipatuhi. Kita tidak harus membiarkan virus itu mendapat hos baharu.”

Beliau berkata, kerajaan juga boleh membantu dengan melaksanakan fasa ketiga Program Imunisasi Kebangsaan lebih awal daripada dijadualkan dan pengeluar “mengemas kini vaksin” mereka supaya lebih berkesan terhadap varian lebih baharu.

Subramaniam juga menggesa orang muda supaya mendaftar untuk program vaksinasi, selain mengekalkan gaya hidup sihat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.