
“Saya memohon maaf kerana (bersikap) tidak sensitif,” kata beliau dalam pesanan teks kepada FMT.
Tan berkata, apa yang cuba disampaikannya adalah majoriti daripada 450,000 guru di seluruh negara mengambil berat dan menjalankan tugas dengan penuh berdedikasi.
“Malangnya, ini tidak disampaikan dengan jelas.”
Dalam wawancara dengan Astro Awani semalam, Tan membangkitkan persoalan sama ada gangguan seksual, rogol dan penyalahgunaan kuasa berlaku di sekolah seluruh negara.
“Bagaimana ini menjadi masalah meluas? Mana statistik, datanya? Siapa yang mereka maksudkan?” soalnya sambil meminta “fakta”.
Komen itu mencetuskan kemarahan, dengan sebuah gabungan kumpulan wanita mengecamnya tidak memandang serius masalah itu, ekoran kritikannya terhadap “Hari Tinggalkan Sekolah 2021”, gerakan membantah gangguan seksual, rogol dan penyalahgunaan kuasa di sekolah.
Gabungan itu turut menegur tindakan Tan mempersoalkan sama ada kejadian seperti itu berleluasa kerana tiada laporan dan data mengenainya, yang juga bukti bidang keguruan tidak memahami isu gangguan seksual.
Sementara itu, Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, walaupun tidak bersetuju dengan gerakan “Hari Tinggalkan Sekolah 2021” anjuran beberapa NGO, ia tidak bermakna mereka menyokong sebarang bentuk gangguan seksual di sekolah.
“NUTP membantah sekeras-kerasnya sebarang bentuk gangguan seksual terhadap mana-mana individu.
“Sekiranya berlaku perkara tersebut, mangsa hendaklah membawa isu itu ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, terdapat 450,000 guru di seluruh negara dan tidak adil untuk mana-mana pihak menuding jari secara umum kepada mereka berhubung isu gangguan seksual itu.