
USM sudah menyediakan lapan bas untuk menghantar pelajarnya di Semenanjung Malaysia pulang ke kampung esok.
Seramai 3,760 pelajar mendaftar untuk pulang beraya, tetapi kira-kira 1,000 orang berubah fikiran dan memutuskan untuk kekal di kampus.
Pelajar di kampus utama di Gelugor di sini, serta kampus lain di Bertam, Nibong Tebal dan Kubang Kerian di Kelantan dihantar pulang dengan bas USM sendiri dan bas disewa. Pelajar perlu menanggung kos pulang ke kampung itu.
Bagaimanapun, ada sebahagiannya yang akan diambil ibu bapa atau menggunakan kenderaan sendiri.
Kerajaan Terengganu turut menghantar dua bas pada Ahad untuk membawa pelajar pulang ke negeri itu secara percuma.
Jurucakap berkata, kampus bekerjasama dengan persatuan pelajar untuk menghantar mereka pulang ke kampung. Penerbangan turut diatur untuk pelajar pulang ke Sabah.
Tetapi, kerajaan tidak membenarkan pelajar pulang ke Sarawak. Tiada alasan diberikan.
Pelajar di seluruh negara dibenarkan pulang mulai hari ini hingga 12 Mei dan kembali ke kampus mulai 15 hingga 20 Mei. Menurut laporan, ia akan dilakukan secara berperingkat untuk mengawal pergerakan mereka.
Pelajar hanya dibenar menggunakan kenderaan sendiri, atau dipandu ibu bapa mereka, atau bas yang diatur universiti.
Kementerian Pengajian Tinggi pada 29 April lalu berkata, dianggarkan 103,994 pelajar yang berada di kampus di seluruh negara akan pulang ke kampung.
Di Skudai, Johor, Kosmo melaporkan kumpulan pertama 2,073 pelajar Universiti Teknologi Malaysia pulang hari ini.
Di Bachok, Kelantan, seramai 1,282 pelajar akan meninggalkan kampus dalam dua fasa untuk meraikan Aidilfitri di kampung halaman.
Di Universiti Putra Malaysia di Serdang, sekitar 6,000 pelajar akan pulang, manakala sekitar 16,000 pelajar akan pulang dari 30 kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara.