Penghuni kondo P Pinang gagal rayuan tolak permohonan pembangunan

Penghuni kondo P Pinang gagal rayuan tolak permohonan pembangunan

Hakim Mahkamah Rayuan Yaacob Sam berkata, tiada merit dalam rayuan itu yang memberikan mahkamah kuasa untuk campur tangan.

Penghuni Kondominium Sunrise Garden sebelum ini membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2017 yang memihak kepada pemaju.
PUTRAJAYA:
Penduduk kondominium di Sungai Ara, Pulau Pinang, hari ini gagal dalam rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam memberikan kebenaran merancang kepada sebuah pemaju hartanah untuk membangunkan skim perumahan di kawasan tebing bukit.

Hakim Mahkamah Rayuan Yaacob Sam yang mempengerusikan panel tiga hakim dalam menolak rayuan itu berkata, mahkamah bersetuju dengan penemuan Mahkamah Tinggi dan mengesahkan penemuan dan keputusan (mahkamah itu).

“Kami dapati tiada merit dalam rayuan itu yang memberikan kami kuasa untuk campur tangan. Kami sebulat suara menolak rayuan ini,” kata beliau.

Yaacob berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan oleh peguam bela Sunway City (Penang) Sdn Bhd, Cyrus Das, yang menyatakan bahawa pelan struktur menetapkan dasar umum untuk pembangunan dalam negeri Pulau Pinang, dan tidak boleh dianggap sebagai satu undang-undang.

Beliau berkata, secara dasarnya, polisi perancangan dalam pelan struktur tidak perlu dipatuhi MBPP, sebagai pihak berkuasa perancangan tempatan, apabila berurusan dengan permohonan kebenaran merancang.

Bersidang bersama beliau ialah Hakim Abdul Karim Abdul Jalil dan Lau Bee Lan.

Penduduk Kondominium Sunrise Garden, yang diwakili peguam Guardial Singh Nijar, merayu terhadap keputusan Mahkamah Pulau Pinang pada Mei 2017 yang membuat keputusan berpihak kepada Sunway City.

Pada 29 Mei 2017, Mahkamah Tinggi itu membenarkan semakan kehakiman oleh Sunway City dan membatalkan keputusan oleh Lembaga Rayuan Pulau Pinang dalam membatalkan kebenaran merancang pembangunan yang diberikan kepada Sunway City.

MBPP meluluskan permohonan Sunway City pada Februari 2012 untuk pelan perancangannya bagi membangunkan kawasan itu sebagai sebuah skim perumahan berpagar dan berpengawal.

Tanah meliputi kawasan seluas 32.7 hektar itu terletak dalam kawasan Sungai Ara pada ketinggian lebih daripada 76m dari paras laut dengan cerunan melebihi 25 darjah.

Penduduk merayu kepada Lembaga Rayuan Pulau Pinang menolak kebenaran merancang dikeluarkan MBPP dan pada Januari 2016, Lembaga Rayuan telah membatalkan kebenaran merancang yang diberikan kepada Sunway City itu.

Terkilan dan terjejas dengan keputusan Lembaga Rayuan yang menyebabkan Sunway City tidak dapat meneruskan pembangunan yang dirancang di tanah tersebut, syarikat itu mengemukakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Sunway City menamakan Lembaga Rayuan, MBPP dan penduduk terbabit sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

Dalam semakan itu, pemaju itu, memohon antara lain membatalkan keputusan Lembaga Rayuan dan mengisytiharkan pengekalan kebenaran merancang yang diberikan MBPP kepadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.