
Setiausaha Pemuda BN, Fadzmel Fadzil berkata, Pemuda Umno sentiasa diingatkan untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan parti komponen BN di pelbagai peringkat.
“Segala keputusan dan ketetapan terhadap hubungan antara parti hanya akan ditentukan kepimpinan parti di dalam Dewan Tertinggi BN,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Pemuda Umno Bahagian Seremban dilaporkan tidak akan bekerjasama dengan MCA Negeri Sembilan dan Seremban yang mahu mempertahankan kerusi Parlimen Seremban pada pilihan raya umum ke-15 nanti.
Ketua Pemudanya, Zool Amali Hussin mengesahkan keputusan itu berkuat kuasa serta-merta, susulan dakwaan provokasi berterusan oleh MCA dalam akhbar Cina tempatan.
“Pemuda Umno Bahagian Seremban memandang serius isu yang dibangkitkan MCA di dalam akhbar dan ini menunjukkan kami, Pemuda tegas dengan pendirian dan prinsip kami untuk meletakkan calon di Parlimen Seremban,” katanya.