Aktiviti sukan, rekreasi tanpa sentuhan fizikal dibenarkan di kawasan PKP

Aktiviti sukan, rekreasi tanpa sentuhan fizikal dibenarkan di kawasan PKP

Keputusan itu dibuat MKN selepas mempertimbangkan rayuan KBS untuk mengkaji semula SOP yang diumumkan semalam.

Aktiviti sukan seperti joging, berbasikal dan senaman di kawasan terbuka dibenarkan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5m.
PETALING JAYA:
Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi tanpa sentuhan fizikal dilakukan di kawasan bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai esok.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan berkata, aktiviti sukan seperti joging, berbasikal dan senaman dibenarkan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5m di kawasan terbuka.

Katanya, keputusan itu dibuat mesyuarat sidang khas MKN hari ini selepas mempertimbangkan rayuan KBS untuk mengkaji semula SOP yang diumumkan semalam.

“Kelonggaran lain bagi sektor sukan dan rekreasi akan diperhalusi dalam mesyuarat teknikal MKN seterusnya,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata, dengan kelonggaran SOP berkenaan, semua peminat dan penggiat sukan diseru agar terus menjalankan aktiviti kecergasan dengan selamat sepanjang tempoh PKP.

“Kita masih lagi belum menang dalam melawan penularan Covid-19,” kata beliau.

“Justeru, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP pada kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan.”

Semalam, MKN memutuskan semua aktiviti sukan dan rekreasi di dalam premis atau kemudahan komersial, awam dan kawasan terbuka bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) digantung mulai hari ini.

Bagaimanapun, beberapa aktiviti seperti program latihan berpusat secara kuarantin Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis-Majlis Sukan Negeri menggunakan konsep latihan berasaskan kem antara yang dibenarkan.

Perkembangan itu secara tidak langsung mengundang pelbagai reaksi masyarakat apabila aktiviti riadah seperti bersenam, joging dan berbasikal bersendirian tidak dibenarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.