
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata dakwaan itu, sekiranya benar, menyekat persaingan, sementara Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, tindakan itu mirip dengan menggunakan baucar sebagai “umpan” untuk menarik penjual.
“Jika penyedia e-dagang berkata ‘Hanya jual di platform saya, jangan jual di tempat lain’, itu tidak betul,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Saravanan Thambirajah.
“Harus ada persaingan. Apabila ada persaingan, pengguna akan untung. Jika ada pihak yang memutarbelitkan pasaran, MyCC harus ambil tindakan.”
Saravanan juga menyeru penjual agar melaporkan kepada MyCC sekiranya mereka rasa “diganggu” platform e-dagang.
Dengan mengambil kira sejumlah laporan dibuat pengguna terhadap dua syarikat e-dagang gergasi tersebut mengenai produk palsu dan penipuan di platformnya, Saravanan berkata, MyCC telah mendesak Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadap dua syarikat tersebut.
“Agensi paling penting untuk menyiasat hal ini adalah MyCC kerana ini bawah bidang kuasanya.”
Shopee didakwa menawarkan baucar RM3,000 berkenaan dalam perbualan WhatsApp dengan seorang penjual yang baru-baru ini didedahkan di portal Tech In Asia.
“Shopee mahu menaja baucar (bernilai) RM3,000 kepada penjual terpilih. Syaratnya adalah anda perlu menutup kedai di Lazada ketika 9/9 (jualan popular di Lazada),” menurut pesanan WhatsApp tersebut, yang didakwa dihantar tahun lalu kepada seorang penjual Shopee.
Shopee enggan memberi komen apabila dihubungi FMT, tetapi difahamkan baucar berkenaan adalah bagi diskaun yuran perkhidmatan.
Selain baucar ini dibatalkan sekiranya perjanjian eksklusif ini dilanggar, antara penalti lain adalah penarikan penyertaan dalam program penghantaran percuma dan produk tidak ditampilkan dalam kempen pemasaran buat sementara.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader turut menggesa MyCC menyiasat dakwaan ini.
“Ini seperti ‘memancing’, guna baucar sebagai umpan. Di hujung hari, pengguna yang rugi.
“Penjual patut bebas memilih (platform e-dagang). Kenapa nak ikat mereka?”
FMT telah menghubungi MyCC bagi mendapatkan komen.