Putrajaya tambah peruntukan kerajaan negeri

Putrajaya tambah peruntukan kerajaan negeri

Ia dilaksanakan sebagai sebahagian daripada empat penambahbaikan terhadap sokongan yang disalurkan kepada kerajaan negeri tahun ini.

Kerajaan persekutuan turut bersetuju meluluskan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri berjumlah RM440 juta bagi membantu kerajaan negeri yang mengalami defisit untuk menguruskan hal ehwal kewangan dan melaksanakan projek pembangunan masing-masing.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan persekutuan akan menambah peruntukan berjumlah RM50 juta kepada RM400 juta bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) kepada semua kerajaan negeri.

Ia dilaksanakan sebagai sebahagian daripada empat penambahbaikan terhadap pemberian dan sokongan yang disalurkan kepada kerajaan negeri tahun ini, menurut kenyataan Kementerian Kewangan.

“Peningkatan peruntukan ini bertujuan membiayai aktiviti Pindahan Fiskal Ekologi sebagai insentif tambahan kepada kerajaan untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara,” menurut laporan Bernama.

Penambahbaikan tersebut diumumkan melalui mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang diadakan secara maya hari ini, dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan dihadiri Menteri Besar serta Ketua Menteri semua negeri.

Kementerian itu menjelaskan, kerajaan persekutuan turut bersetuju meluluskan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri berjumlah RM440 juta bagi membantu kerajaan negeri yang mengalami defisit untuk menguruskan hal ehwal kewangan dan melaksanakan projek pembangunan masing-masing.

Keputusan ini dibuat memandangkan situasi sukar yang dialami kebanyakan kerajaan negeri, terutama dalam pengurusan kewangan negeri ketika wabak Covid-19, jelasnya.

Majlis Kewangan Negara juga bersetuju supaya Garis Panduan Tatacara Penggunaan Pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) ditambah baik, antaranya termasuk peluasan takrifan penyenggaraan jalan negeri.

“Keputusan ini diharapkan dapat memberi fleksibiliti kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan mengikut keutamaan dan kesegeraan di negeri masing-masing seterusnya menjamin keselamatan rakyat terutama pengguna jalan raya,” menurut kementerian.

Kerajaan persekutuan juga menyediakan peruntukan berjumlah RM260 juta kepada kerajaan negeri bagi membantu negeri melaksanakan projek-projek berskala kecil di peringkat akar umbi.

“Agihan pertama sebanyak RM60 juta telah disalurkan kepada negeri-negeri dengan had maksimum bagi setiap projek ditetapkan pada RM100,000 melalui kaedah cabut undi untuk memastikan pengagihan peruntukan dapat memanfaatkan kontraktor kecil Bumiputera secara saksama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.