
Beliau berkata BAM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sama ada untuk meneruskan kejohanan itu berikutan peningkatan kes Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami masih berbincang, saya tahu perkara menjadi semakin rumit ketika ini kerana banyak perkara berlaku di luar kuasa kita, bukan sahaja isu peningkatan kes Covid-19 di sini tapi juga dihadapi oleh negara luar.
“Saya rasa kita akan mendapat petunjuk dalam masa 24 hingga 48 jam tetapi apapun begitu, kami akan terus memastikan keselamatan dan kesejahteraan pemain diutamakan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan antara BAM dan BP Healthcare Group di sini hari ini.
Mohamad Norza berkata sebarang keputusan yang dibuat oleh BAM adalah berdasarkan kepada BWF kerana badan itu mempunyai peranan penting berkaitan kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.
Terbuka Malaysia adalah kejohanan kedua terakhir sebelum Terbuka Singapura pada bulan depan, yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.