Lonjakan kes, kluster Covid-19, PKP baharu, perbelanjaan kerajaan sebab Najib tak lena tidur

Lonjakan kes, kluster Covid-19, PKP baharu, perbelanjaan kerajaan sebab Najib tak lena tidur

Kuala Lumpur dan sebahagian Selangor, Johor, Terengganu dan Perak dijadual memasuki PKP baharu minggu ini.

PETALING JAYA:
Sewaktu lebih banyak daerah bersiap-siap untuk memasuki perintah kawalan pergerakan (PKP) kali ketiga minggu ini, bekas perdana menteri Najib Razak berkata, beliau tidak lena tidur susulan peningkatan kes dan pertambahan bilangan kluster baharu Covid-19.

Pada Selasa, enam daerah di Selangor akan diletakkan di bawah PKP dengan sebahagian daripada Johor, Terengganu di Perak dikenakan perintah sama semalam.

Dalam catatan di Facebook awal pagi ini, Ahli Parlimen Pekan itu merakamkan kekesalan berhubung pengendalian pandemik yang lemah oleh kerajaan dengan berkata, aduan orang ramai kerap tidak didengar, justeru menyebabkan berlakunya lonjakan kes sepanjang beberapa minggu lepas.

Beliau mengulangi gesaannya supaya dilaksanakan PKP yang “singkat dan ketat” bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak itu dan membolehkan negara pulih secepat mungkin.

“Maka PKP tidak perlu berpanjangan serta diulang-ulang dan kerajaan boleh elakkan keperluan berderet-deret pakej bantuan baharu yang menambah bebanan fiskal ke atas kerajaan,” katanya.

Mengimbau PKR terakhir yang dikenakan ke atas beberapa negeri pada Januari beliau berkata, ini kerana PKP “separuh masak” ditamatkan semasa jumlah kes masih tinggi.

Ini katanya menyebabkan virus tersebut tersebar lebih luas dan berakar dalam komuniti.

Najib berkata, keadaan sekarang lebih buruk berbanding ketika PKP 2.0 dilaksanakan kerana kewujudan lebih banyak kluster aktif yang tidak lagi terhad di tempat kerja dan kilang.

Katanya, kemunculan varian baharu juga membimbangkan dan menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya memendekkan tempoh kuarantin bagi ketibaan asing daripada 14 kepada tujuh hari kerana ia menyebabkan mutasi dari luar negara memasuki komuniti.

Najib juga menyuarakan kebimbangan berhubung kedudukan fiskal negara dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata baru-baru ini bahawa kerajaan kekurangan dana selepas membelanjakan RM340 bilion dalam langkah rangsangan ekonomi dan RM322 untuk Belanjawan 2021.

Beliau berkata, PKP “yang berpanjangan” akan memberi kesan buruk kepada negara kerana ekonomi yang lemah dan pertambahan hutang kerajaan akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggungnya dalam jangka panjang dengan pelbagai potongan belanjawan dan pengenaan cukai baharu.

“Mudah sekali untuk pinjam berkali-kali atau korek aset dan tabung sedia ada untuk kerajaan mendakwa ia membantu rakyat dan prihatin.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengehadkan ziarah Hari Raya sewaktu pelaksanaan PKP kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.