Kes Badan Peguam cabar pengisytiharan darurat didengar 10 Mei

Kes Badan Peguam cabar pengisytiharan darurat didengar 10 Mei

Badan Peguam juga akan memfailkan permohonan esok untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan, kata seorang ahli pasukan perundangannya.

Badan Peguam telah menyerahkan semua kertas kausa kepada Pejabat Peguam Negara, menurut Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini akan menjalankan pengurusan kes pada 10 Mei susulan tuntutan Badan Peguam bulan lalu bagi mendapatkan beberapa deklarasi bahawa langkah kerajaan mengisytiharkan darurat bercanggah dengan Perlembagaan.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, berkata prosiding akan berlangsung di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

“Badan Peguam telah menyerahkan semua kertas kausa kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, seorang peguam, yang juga ahli pasukan perundangan Badan Peguam, berkata badan tersebut akan memfailkan permohonan esok untuk merujuk kes ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam tersebut, yang tidak mahu dinamakan, berkata Perkara 150 berkenaan pengisytiharan darurat bersifat ultra vires terhadap Perlembagaan Persekutuan kerana ia meletakkan kuasa mutlak pada cabang Eksekutif.

“Perkara 150 pada asalnya seperti yang diluluskan bawah ‘Perlembagaan Merdeka’ mempunyai perlindungan sedia ada yang dimansuhkan dalam pindaan berikutnya,” kata beliau.

Pada 16 April, Presiden Badan Peguam, AG Kalidas berkata, tindakan itu diteruskan sebagai sebahagian daripada tugas statutorinya untuk menegakkan kausa keadilan, susulan resolusi yang diluluskan pada mesyuarat agung tahunannya pada 13 Mac.

Pada masa lalu, Ordinan Darurat telah meletakkan lebih kuasa pada cabang Eksekutif tanpa mengambil kira perlindungan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, seperti akauntabiliti dan pengawasan Parlimen.

Antara peruntukan Ordinan Darurat yang ingin dicabar Badan Peguam adalah Seksyen 5, 11(a) and (b), 14, 15 and 18 Ordinan Darurat No 1, yang menyentuh pampasan bagi aset, kuasa eksekutif dan perundangan, serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Badan Peguam juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 4 dan 24 Ordinan Darurat No 2 berhubung berita palsu dan kenyataan pembelaan bercanggah dengan Perlembagaan.

Selain itu, Badan Peguam juga memohon deklarasi bahawa mengikut Perkara 150(3), Perdana Menteri dan/atau kerajaan Malaysia mempunyai tugas berperlembagaan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya memanggil persidangan Parlimen berhubung pengisytiharan darurat.

Ordinan berkaitan perlu dibentangkan di Parlimen dan semua resolusi mengenainya perlu diluluskan.

Pada 3 Mei, Kamal menetapkan 22 Julai bagi mendengar permohonan badan bukan kerajaan untuk merujuk beberapa persoalan perundangan berkenaan pengisytiharan darurat kepada Mahkamah Persekutuan.

Hakim Noorin Badaruddin juga akan mendengar dua permohonan berasingan bagi Mahkamah Persekutuan untuk menentukan keabsahan pengisytiharan darurat.

Kedua-dua permohonan tersebut, yang difailkan penyokong Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan dan peguam Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar, memohon pengesahan daripada mahkamah tertinggi sama ada pengisytiharan darurat pada 11 Jan sah dari segi undang-undang dan mengikut Perlembagaan.

Semua permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen lain, Hassan Karim (Pasir Gudang), Salahuddin Ayub (Pulai), Johari Abdul (Sungai Petani), dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari ditolak atas alasan peruntukan dalam Perlembagaan menghalang Mahkamah Tinggi daripada mendengar kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.