Jualan sektor pembuatan Mac naik 15.3%, tertinggi selepas 44 bulan, kata Jabatan Perangkaan

Jualan sektor pembuatan Mac naik 15.3%, tertinggi selepas 44 bulan, kata Jabatan Perangkaan

Dari segi perbandingan bulan ke bulan pula, ia meningkat 7.2%.

Jabatan Perangkaan memaklumkan jumlah pekerja dalam sektor pembuatan pada Mac 2021 adalah seramai 2,233,545 orang, berkurang 1.1% berbanding 2,257,273 pada Mac 2020.
PETALING JAYA:
Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 15.3% kepada RM126.9 bilion pada Mac 2021 berbanding Mac tahun lalu.

Jabatan Perangkaan berkata, peningkatan itu adalah tertinggi selepas 44 bulan.

“Ia dipacu oleh produk kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (34.2%), produk elektrik & elektronik (17.0%) dan produk makanan, minuman & tembakau (14.9%),” kata Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin.

Dalam pada itu Uzir berkata, dari segi perbandingan bulan ke bulan pula ia meningkat 7.2%.

Ketua Perangkawan Uzir Mahidin.

Beliau juga berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada Mac 2021 adalah seramai 2,233,545 orang, berkurang 1.1% berbanding 2,257,273 pada Mac 2020.

“Kandungan laporan juga menyebut jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah sebanyak RM7,514.3 juta, meningkat 0.8% atau RM58.3 juta pada Mac 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Uzir berkata, nilai jualan per pekerja meningkat 16.5% kepada RM56,831 berbanding bulan yang sama pada 2020.

Katanya purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,364 pada Mac 2021.

“Pada suku tahun pertama 2021, nilai jualan merekodkan peningkatan 8.5% kepada RM368.2 bilion berbanding tempoh sama tahun 2020.

“Bilangan pekerja pada tempoh tersebut berkurang 1.1% kepada 2,233,545 orang, manakala gaji & upah dibayar mencatatkan penurunan 0.6% kepada RM22.6 bilion.

“Nilai jualan per pekerja pada tempoh rujukan meningkat sebanyak 9.7% kepada RM164,865,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.