
Beliau berkata, kebanyakan kes adalah akibat penularan di rumah susulan aktiviti sosial keluarga, dengan ramai ahli keluarga dari jauh bertemu dan berkumpul dalam satu rumah.
“Kebanyakan kes disebabkan tidak mematuhi SOP dan amalan 3S yang ditetapkan, iaitu elak ruang sempit, sesak dan sembang dekat.
“Selain itu masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial keluarga seperti berkumpul di karaoke, kenduri kahwin serta aktiviti riadah berkumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Vidyananthan berkata, susulan keadaan itu, satu sesi libat urus diadakan antara Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Agama, semua pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pejabat kesihatan daerah (PKD) secara atas talian minggu lalu.
Katanya, ia bagi membincangkan isu berbangkit di sekolah serta tindakan kawalan yang boleh diambil bagi mengelakkan penularan berterusan.
“PPD dan PKD perlu bekerjasama meningkatkan pemantauan terhadap pematuhan SOP di sekolah masing-masing,” tambah beliau.
Tambah beliau, satu sesi taklimat berkaitan pengurusan Covid-19 di sekolah secara atas talian juga diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri kepada 954 institusi pendidikan Islam kerajaan dan swasta yang terdapat di seluruh Johor.
Dalam perkembangan lain, Vidyananthan berkata, 7,620 individu menerima dos pertama bagi fasa kedua program vaksinasi Covid-19 sehingga 3 Mei.
“Daripada jumlah itu, 4,362 adalah warga emas, kumpulan komorbid (menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis, penyakit jantung dan obesiti) seramai 3,047 dan orang kurang upaya seramai 17, manakala lain-lain seramai 194 individu,” katanya.
Semalam, Johor mencatatkan 292 kes harian Covid-19 dan merekodkan dua kes kematian dengan Johor Bahru kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 173 kes direkodkan.
Tiga daerah di negeri ini turut dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai esok hingga 20 Mei, membabitkan daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai.