
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira cabaran serta perkembangan semasa demi kepentingan kesihatan awam dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, operasi di kemudahan atau premis sukan dan rekreasi yang terhad kepada urusan pengurusan dan penyelenggaraan, serta program latihan berpusat secara kuarantin Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri menggunakan konsep “Camp Based Training” dibenarkan.
Katanya, program latihan berpusat secara kuarantin pasukan Liga Malaysia (Liga-M) turut dibenarkan, tetapi penganjuran kejohanan dan perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan hanya untuk saingan Liga-M tanpa kehadiran penonton.
Turut dibenarkan ialah penyertaan atlet dan pegawai tempatan di kejohanan antarabangsa dengan sokongan kerajaan dan kebenaran Jabatan Imigresen.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai SOP sektor sukan dan rekreasi bagi kawasan PKP yang dikemas kini di laman MKN dan KBS yang akan dimuat naik dalam masa terdekat.
SOP bagi aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan pemulihan (PKPP) masih sama.