Malaysia sekat kemasukan warga Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan dan Nepal

Malaysia sekat kemasukan warga Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan dan Nepal

Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang mempunyai pasport diplomatik dikecualikan.

Pemegang pas lawatan sosial jangka panjang dan pelawat perniagaan dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan juga dilarang memasuki Malaysia.
PETALING JAYA:
Warganegara Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilarang memasuki Malaysia, tambahan kepada sekatan penerbangan dari dan ke India yang diumumkan 26 April lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu terpakai kepada semua kategori pengembara, termasuk yang memiliki pas lawatan sosial jangka panjang dan pelawat perniagaan.

Katanya, pengecualian diberikan kepada pemegang pasport diplomatik dan rasmi berdasarkan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Beliau dalam kenyataan berkata, kategori pemegang pasport itu dibenarkan ke Malaysia menggunakan protokol Covid-19 sedia ada.

Langkah itu menyusul pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di beberapa negeri dan lonjakan kes Covid-19 di negara itu.

Hari ini, media melaporkan Sabah melaksanakan sekatan serta-merta terhadap pengembara dari benua India, susulan penularan varian India Covid-19 di negara terbabit.

Kadar jangkitan mingguan di negara jiran India itu menyaksikan lonjakan kes secara drastik.

Jangkitan mingguan di Nepal meningkat 14 kali ganda berbanding jumlah kes yang dicatatkan awal bulan lalu.

Kes di Sri Lanka dan Pakistan turut meningkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.