Keluarga boleh lawat penghuni penjara sempena Aidilfitri

Keluarga boleh lawat penghuni penjara sempena Aidilfitri

Kebenaran hanya tertakluk kepada keluarga terdekat dan yang berada di negeri yang sama, mulai 15 hingga 19 Mei.

Menurut Jabatan Penjara, masa perjumpaan dibenarkan maksimum 30 minit bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Keluarga penghuni penjara dibenarkan membuat lawatan perjumpaan sempena Aidilfitri bermula 15 hingga 19 Mei ini, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebenaran ini bagaimanapun tidak terpakai kepada penjara yang berada dalam zon/daerah dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) atau PKP diperketatkan (PKPD).

Kebenaran itu juga hanya tertakluk kepada keluarga terdekat dan yang berada di negeri yang sama.

“Seorang penghuni hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu.

“Tempahan boleh dibuat bermula hari ini sehingga 10 Mei dan terdapat tiga kaedah tempahan iaitu Sistem i-Visit di laman web: www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan, dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan,” menurut kenyataan hari ini.

Menurut Jabatan Penjara, pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan masa perjumpaan dibenarkan maksimum 30 minit bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan.

Selain itu, hanya pelawat dalam kalangan keluarga yang ditetapkan pihak penjara dibenarkan, manakala pelawat berusia 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan.

“Warga emas berumur 60 tahun ke atas tidak digalakkan dan sebarang risiko adalah tanggungan sendiri.

“Pelawat dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa perjumpaan,” menurut kenyataan itu.

Malumat lanjut boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia, www.prison.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.