
Beliau berkata, program itu dijangka memanfaatkan kira-kira 8.5 juta rakyat daripada kumpulan B40 untuk memiliki telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar Internet.
Ketika berucap di majlis pelancarannya, Muhyiddin berkata, daripada keseluruhan RM3.5 bilion itu, kerajaan akan membelanjakan RM2 bilion, manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan menyumbang RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma.
Kata beliau, tiga strategi utama diberikan fokus bagi menangani cabaran jurang digital, iaitu akses, kemampuan kewangan dan kemahiran.
Menurutnya, kerajaan sedar dalam aspek liputan, penembusan dan kelajuan rangkaian, masih banyak ruang boleh diperbaiki terutama di sesetengah kawasan luar bandar yang mempunyai kepadatan rendah.
Beliau berkata, kerajaan sudah memperuntukkan penaiktarafan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang merangkumi rancangan gentian optik, serta meningkatkan liputan 4G berkualiti bernilai RM21 bilion menjelang 2022.
Kerajaan juga akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar bernilai RM15 bilion, katanya.
Dari segi kemampuan kewangan pula, Muhyiddin berkata masih terdapat jurang kemampuan kewangan untuk memperolehi capaian Internet.
Katanya, walaupun kos pelan jalur lebar terendah di Malaysia adalah 1.1% daripada pendapatan negara kasar per kapita bulanan, ini masih tinggi bagi golongan berpendapatan rendah.
Selain itu, katanya, kekurangan kemahiran digital juga menjadi penghalang usaha peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan hanya 50% rakyat mempunyai kemahiran digital standard, sementara hanya 25% memiliki kemahiran digital lanjutan.
Susulan itu, untuk menangani isu kemahiran khususnya bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima pakai pendigitalan, kerajaan telah menyalurkan pelbagai insentif dalam Belanjawan 2021 seperti Geran Digitalisasi PKS berjumlah RM150 juta, Dana Transformasi Digitalisasi Industri berjumlah RM1 bilion dan Fasiliti Teknologi Tinggi berjumlah RM1 bilion, katanya.
Muhyiddin berkata jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan dalam usaha kerajaan menangani krisis wabak Covid-19 serta meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke arah yang lebih inklusif.
“Sebagai nadi kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, keterangkuman digital akan terus menjadi tumpuan utama kerajaan bagi merealisasikan Malaysia yang lebih adil dan saksama,” katanya.