
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada peraturan bekerja dari rumah ketika PKP, dengan hanya 30% kakitangan pengurusan dibenarkan hadir di pejabat tanpa sekatan kepada waktu bekerja, manakala kehadiran pekerja lain diputuskan mengikut budi bicara majikan.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang akan dikenakan PKP mulai esok hingga 17 Mei ini akibat lonjakan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan berkata, semua sektor ekonomi, termasuk pembuatan, dibenarkan beroperasi di kawasan PKP itu, dengan pengecualian kepada aktiviti dalam senarai “negatif PKP”.
Syarikat diingatkan kegagalan mematuhi SOP akan membawa kepada hukuman, termasuk penutupan sementara perniagaan.
Agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan turut digesa mengambil langkah proaktif serta membantu kerajaan persekutuan dengan memperketatkan langkah penguatkuasaan.