Polis cadang nombor pendaftaran bercip keselamatan

Polis cadang nombor pendaftaran bercip keselamatan

Penyeragaman e-plate itu antara yang dicadangkan JSJ Bukit Aman kepada kerajaan dalam usaha berdepan perubahan teknologi pada hari ini.

Penggunaan nombor pendaftaran yang diseragamkan dapat mencegah jenayah kerana individu atau penjenayah akan sukar membuat nombor pendaftaran palsu, kata Huzir Mohamed.
PETALING JAYA:
Penggunaan nombor pendaftaran standard dilengkapi cip keselamatan atau ‘e-plate’ perlu diseragamkan bagi meningkatkan lagi tahap pencegahan jenayah di negara ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed.

Beliau berkata, penyeragaman e-plate itu antara yang dicadangkan jabatannya kepada kerajaan dalam usaha berdepan perubahan teknologi pada hari ini dan menghadapi trend jenayah yang semakin canggih serta mencabar.

“Sudah tiba masa negara kita menggunakan nombor pendaftaran standard dilengkapi cip keselamatan atau e-plate yang mana ia sudah lama digunakan di negara maju selain di Singapura dan Thailand,” kata beliau menurut laporan Berita Harian.

Huzir berkata, meskipun nombor pendaftaran standard tanpa cip keselamatan dipakai di Indonesia, Vietnam dan Laos tetapi ia masih seragam berbanding di Malaysia yang masih menggunakan nombor pendaftaran cacamarba, termasuk nombor pendaftaran ‘fancy’.

“Sekiranya penggunaan nombor pendaftaran diseragamkan, ia dapat mencegah jenayah. Sukar untuk individu atau penjenayah membuat nombor pendaftaran palsu dan sebagainya kerana ia diselaraskan dan hanya satu badan atau jabatan membuat nombor pendaftaran.

“Disamping itu, ia akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketidakpatuhan pengguna jalan raya, termasuk tidak mematuhi lampu isyarat,” kata beliau dalam program terbitan Bernama TV, Ruang bicara PDRM yang bertajuk ‘Trend Jenayah Semasa Penularan Pandemik Covid-19’.

Tambah beliau, penggunaan e-plate boleh membantu JSJ menangani kes kecurian kenderaan yang mana jenayah itu penyumbang tertinggi kepada kes jenayah di negara ini.

Katanya, cadangan itu diusulkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan untuk dipertimbangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.