Amanat akhir Hamid kepada PDRM: Tingkatkan khidmat, kita masih bergelut dengan ‘perang persepsi’

Amanat akhir Hamid kepada PDRM: Tingkatkan khidmat, kita masih bergelut dengan ‘perang persepsi’

Dalam amanat terakhirnya selaku Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador turut mengingatkan anggota polis bahawa malaikat Raqib dan Atid sentiasa ada di kiri dan kanan bagi mencatat amalan baik dan buruk mereka.

Abdul Hamid Bador menyampaikan amanat terakhirnya kepada warga polis dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengharungi perang persepsi dan memerlukan seluruh warganya meningkatkan tahap perkhidmatan kepada masyarakat, kata Abdul Hamid Bador.

“Saya masih begitu gusar untuk meninggalkan pasukan keramat ini yang masih bergelut dengan konflik ‘war of perception’ yang tidak berkesudahan dan terus menerus dihukum ‘by the court of public opinion.”

“Kita tidak mungkin mampu untuk memuaskan hati lebih 32 juta orang rakyat Malaysia, namun kita mampu untuk berusaha meningkatkan kualiti ‘service delivery’ kepada masyarakat,” katanya dipetik Harian Metro.

“Saya menyeru kepada semua warga PDRM supaya kita dapat memikul tanggungjawab ini dengan penuh amanah,” katanya di Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman.

Jawatan itu kini disandang oleh Acryl Sani Abdullah Sani, yang merupakan timbalan Hamid sebelum ini.

Dalam amanat terakhirnya selaku Ketua Polis Negara, Hamid turut mengingatkan warga polis bahawa malaikat Raqib dan Atid sentiasa ada di kiri dan kanan bagi mencatat amalan baik dan buruk mereka.

Hamid berkata, beliau tidak menyangka mengakhiri kerjaya empat dekadnya di PDRM sebagai KPN.

“Saya tidak menyangka memulakan perkhidmatan dalam PDRM pada 4 November 1979 akan pergi sejauh ini dengan jawatan terakhir sebagai KPN.

“Umum mengetahui saya pernah meninggalkan pasukan untuk bersara pilihan namun selepas tiga tahun saya dipanggil kembali dan kini selepas hampir empat dekad tiba masanya untuk saya mengundur diri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Ismail Mohamed Said, berkata kerajaan merakamkan setinggi penghargaan kepada Hamid atas sumbangan serta khidmat bakti dicurahkan kepada pasukan.

“Segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti yang ditaburkan kepada negara serta pasukan amat besar nilainya, di kesempatan ini juga kerajaan Malaysia merakamkan tahniah dan syabas kepada Acryl yang dilantik sebagai KPN baharu,” katanya yang membacakan teks ucapan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.

Hubungan Hamid-Zainudin dilaporkan rapuh di sebalik tuduhan Hamid bahawa Menteri Dalam Negeri itu menggunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam urusan polis.

Antara campurtangan itu, menurut Hamid, ialah menyekat pertukaran pegawai bermasalah dan menentukan pelantikan jawatan kanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.