3 kapal penguat kuasa Vietnam ‘kacau’ APMM buat kerja diusir

3 kapal penguat kuasa Vietnam ‘kacau’ APMM buat kerja diusir

Kejadian berlaku di Zon Ekonomi Eksklusif negara ketika Kapal Maritim (KM) GEMIA sedang menunda tiga bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara membabitkan rampasan bernilai RM4.5 juta.

Kuala Terengganu: Tiga kapal penguat kuasa Vietnam diusir Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu selepas menghalang kapal APMM menahan bot nelayan negara itu yang menceroboh perairan negara.

Kejadian berlaku di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara ketika Kapal Maritim (KM) GEMIA sedang menunda tiga bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara membabitkan rampasan bernilai RM4.5 juta, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Terengganu Muhammad Suffi Ramli, berkata KM GEMIA sebelum itu menahan tiga bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia untuk merompak hasil laut negara pada jarak antara 119 hingga 120 batu nautika Timur Laut Kuala Terengganu antara jam 8 hingga 9 pagi.

Katanya, tiga kapal penguat kuasa Vietnam memasuki perairan negara untuk menghalang KM GEMIA menahan tiga bot nelayan mereka dengan menghimpit bot tahanan dan membayangi KM GEMIA.

“Susulan kejadian itu, Pusat Operasi Maritim Terengganu mengarahkan KM AMANAH yang ketika itu berada pada jarak 35 batu nautika dari lokasi kejadian untuk memberikan bantuan dan memaklumkan Pusat Operasi Maritim Ibu Pejabat Putrajaya berkaitan insiden itu.

“Pada peringkat awal, penguat kuasa Vietnam meminta kita melepaskan bot-bot nelayan mereka namun kita tidak memenuhi permintaan itu kerana bot nelayan itu menceroboh perairan Terengganu untuk merompak hasil laut Malaysia.

“Anggota kita kemudian mengarahkan kapal-kapal penguat kuasa Vietnam itu keluar dari perairan negara sebelum mereka akhirnya akur dengan arahan diberikan,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Suffi berkata, pihaknya menahan 19 nelayan termasuk tekong yang berusia antara 21 hingga 61 tahun yang berada di tiga bot nelayan asing itu.

Katanya, APMM turut merampas 1.5 tan hasil laut, 4,500l diesel serta peralatan menangkap ikan dengan rampasan dianggarkan RM4.5 juta.

“Selain berdepan gangguan penguat kuasa Vietnam, kita turut mengalami kesukaran apabila dua daripada bot nelayan yang ditahan itu mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda ke Jeti Maritim Negeri Terengganu bagi siasatan lanjut.

“Kita mengambil masa hampir 55 jam dengan kelajuan hanya tiga knot untuk menunda bot itu sebelum tiba di jeti kira-kira 3 petang semalam (Ahad).

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Sepanjang Op Kuda Laut yang dilancarkan untuk membanteras pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam, 87 bot nelayan asing membabitkan 960 ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.