
PETALING JAYA Ketua polis negara yang bakal bersara Abdul Hamid Bador digesa mendedahkan “cerita sebenar” berkenaan kes berprofil tinggi sebelum beliau melepaskan jawatannya esok.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata, antara kes tersebut termasuklah kes video seks melibatkan Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali dan kegagalan membawa balik dalang skandal 1MDB, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.
Kes lain yang turut disebut beliau ialah kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim berikutan rusuhan yang berlaku di kuil Seafield di Subang Jaya dan kaitan suami bekas gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz dengan skandal 1MDB.
Puad berkata, beliau akan “tabik” Hamid jika beliau berani mendedahkan sama ada wujud campur tangan politik dalam kes terbabit.
“Apakah ada campur tangan politik? (Abdul) Hamid Bador sanggup dedah campur tangan politik dalam PDRM. Tolong dedah cerita sebenar kes di atas.”
Azmin sebelum ini menafikan penglibatan dalam video seks berkenaan, dan peguam negara ketika itu, Tommy Thomas memutuskan untuk tidak membuat pendakwaan kerana identiti individu terbabit tidak dapat disahkan.
Berhubung usaha menjejak Jho Low, Hamid dilaporkan berkata, kurang kerjasama antara siasatan antarabangsa dengan agensi penguatkuasaan menghalang penahanan ahli perniagaan yang diburu itu.
Berkenaan kematian Adib, Hamid berkata, tiada saksi kejadian yang boleh dipercayai ditemui dalam insiden yang membawa kepada kematian anggota bomba itu.
Siasatan ke atas suami Zeti, Tawfiq Ayman, membabitkan pindahan dana 1MDB ke dalam akaun bank yang dimilikinya di Singapura, masih berjalan.
Hamid yang bakal bersara esok mengejutkan banyak pihak baru-baru ini dengan mendakwa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin campur tangan dalam urusan polis.