Beberapa keping gambar dan video tular di media sosial berhubung kejadian malam tadi turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Facebook beliau.
Menurut Fahmi beliau menyedari kerosakan jalan itu selepas solat Isyak dan tarawih di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar.
“Saya bergegas ke arah lokasi dan mendapati terdapat sejumlah kesan retak di atas Jalan Maarof di antara Public Bank dengan Maybank.
“Bersama Mumtaz Ali (Save KL) dan pasukan penyelamat DBKL, kami lihat apakah yang mungkin mengakibatkan kejadian ini,” katanya.

Fahmi berkata, keadaan yang boleh dilihat, insiden ribut petir dan hujan lebat sekitar jam 9 malam itu mungkin menyebabkan jumlah air yang mengalir di longkang pembentung di bawah hentian bas Bank Rakyat di situ meningkat secara mendadak.
Katanya, ini berkemungkinan mengakibatkan dinding longkang itu jatuh dan air mengalir terlalu deras ke arah jalan berturap.
“Mungkin air yang mengalir ini ‘tembus’ di permukaan jalan di Jalan Maarof di beberapa lokasi, yang akhirnya merosakkan jalan tersebut.
“Apa pun kita perlu nantikan laporan penuh pihak berkuasa, dan lebih penting kerja-kerja baik pulih Jalan Maarof akan dilakukan segera,” katanya.