30 lagi kes varian Covid-19 dikesan di Malaysia

30 lagi kes varian Covid-19 dikesan di Malaysia

Ia terdiri daripada 27 kes varian Afrika Selatan (B.1.351) dan tiga kes varian UK (B.117).

Malaysia mengesan kes pertama varian India (B.1.617.1) daripada seorang warga India yang menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengesan 30 lagi kes varian Covid-19 membimbangkan (VOC) di negara ini yang terdiri daripada 27 kes varian Afrika Selatan (B.1.351) dan tiga kes varian United Kingdom (B.117).

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, semua kes itu dikesan menerusi 59 penjujukan seluruh genom dari 24 April hingga semalam oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Ini adalah laporan pertama mengenai VOC Afrika Selatan di Perak dan Kelantan yang membabitkan beberapa kluster penting dengan 10 kes di setiap negeri. Selain itu, kami masih mengesan varian itu di Selangor dengan tujuh kes.

“Bagi varian UK, dua kes dikesan di Selangor dan satu kes di Sandakan, Sabah (laporan pertama mengenai VOC di Sabah), yang membabitkan seorang individu bukan warganegara.

“Ini juga adalah laporan pertama mengenai varian itu dalam kalangan individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, sekali gus mencadangkan ia adalah jangkitan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Selain VOC, beliau berkata, kes pertama varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) membabitkan varian India (B.1.617.1) turut dikesan daripada seorang rakyat India yang menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga kini, katanya, Malaysia mencatatkan 48 kes varian Afrika Selatan, lapan kes varian UK, satu kes varian India, dua kes varian Nigeria (B.1.525) dan satu kes varian keturunan C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir.

“Kami juga mendapati ada peningkatan bertahap dalam jumlah VOC, terutama bagi varian Afrika Selatan dalam sampel yang kami lakukan penjujukan penuh genom, menunjukkan potensi penggantian VOC (B.1.351) bagi varian keturunan tempatan (B.1.524).”

Orang ramai dinasihatkan kekal bertenang dan memberi kerjasama dalam membendung penularan Covid-19.

“Segala tindakan kesihatan awam untuk terus putuskan rantaian penularan perlu dilakukan untuk keselamatan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.