Terima syor SC, henti lantik ahli politik dalam GLC, kerajaan diberitahu

Terima syor SC, henti lantik ahli politik dalam GLC, kerajaan diberitahu

Lapan syarikat berkaitan kerajaan merupakan syarikat tersenarai utama.

Kemas kini terbaharu Suruhanjaya Sekuriti berhubung tadbir urus korporat menyebut semua ahli politik aktif tidak harus dilantik ke dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai.
PETALING JAYA:
Putrajaya digesa menuruti syor Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung tadbir urus korporat.

Bercakap kepada FMT, dua pakar ekonomi dan seorang pemimpin badan pemikir terkenal memberi komentar berhubung kemas kini SC berkenaan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).

Dalam kemas kini terbaharunya, SC berkata, semua ahli politik aktif tidak harus dilantik ke dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai.

Pakar ekonomi Terence Gomez berkata, kerajaan harus mendengar syor SC kerana ia bertindak untuk kepentingan rakyat dan ekonomi.

Terence Gomez.

Gomez berkata, beliau amat bimbang berhubung ahli politik menjadi pengarah dalam syarikat tersenarai kerana lapan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan syarikat utama.

“Pada waktu GLC merupakan komponen utama dalam membantu ekonomi terus bergerak, kerajaan perlu memastikan individu yang memegang jawatan dalam lembaga benar-benar kompoten dan mempunyai pengetahuan mengenai industri supaya mereka dapat menawarkan kepakaran dalam menjamin kelangsungan syarikat dan ekonomi.

“Profesional hendaklah dilantik berdasarkan kelayakan mereka, bukan kesetiaan politik,” katanya.

Menurut Gomez, sebagai pemegang saham utama dalam GLC, kerajaan perlu mengemukakan justifikasi tepat berhubung pelantikan ahli politik.

“Kerajaan perlu telus dan bertanggungjawab kepada negara,” katanya, selain menambah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus menyebut dengan jelas bahawa beliau tidak akan melantik ahli politik ke dalam lembaga pengarah GLC, sekali gus menyuburkan keyakinan pelabur.

“Kerajaan harus menjadikan langkah tidak melantik ahli politik sebagai pengarah dalam syarikat tersenarai sebagai peraturan.

Ketua pegawai eksekutif IDEAS Tricia Yeoh berkata, beliau mahu melihat lebih banyak penilaian sedemikian pada masa depan, termasuk kewujudan Indeks Tadbir Urus Korporat supaya orang ramai boleh melihat pencapaian syarikat tersenarai secara telus.

Yeoh berkata, ini boleh menjadi papan markah supaya rakyat tahu syarikat tersenarai manakah yang mematuhi garis panduan.

Ahli ekonomi Firdausi Sufian berkata, syor SC merupakan langkah mula yang baik kerana ahli politik yang berada dalam GLC tidak dapat menggabungkan kepentingan politik dengan pertimbangan ekonomi.

“Ahli politik akan sentiasa memikirkan cara untuk memenuhi keperluan parti masing-masing dan jika gagal, mereka bakal menerima kesan buruk.

“Justeru dalam keadaan sedemikian, tentulah mereka tidak boleh membuat keputusan yang tepat,” katanya.

Firdausi berkata, GLC memainkan peranan penting dalam membantu pemulihan ekonomi dan oleh sebab itu langkah pembetulan tersebut perlu diambil.

Beliau juga menggesa profesional dengan latar belakang kewangan dan ekonomi yang kukuh dilantik untuk mengurus GLC dengan berkata, tiada salahnya berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.