SPRM digesa akur gesaan KPN, siasat ‘lompat parti’

SPRM digesa akur gesaan KPN, siasat ‘lompat parti’

Transparency International Malaysia percaya, KPN Abdul Hamid Bador maklum tentang salah laku yang berlaku.

Muhammad Mohan dan Charles Santiago berkata, kenyataan Abdul Hamid Bador mengenai perbuatan ‘lompat parti’ hendaklah dipandang serius dan disiasat oleh SPRM.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu akur gesaan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan menyiasat wakil rakyat yang “melompat parti”, kata kumpulan anti rasuah.

Transparency International Malaysia (TI-M) percaya, KPN maklum tentang salah laku yang berlaku dan membayangkan bahawa politik wang mungkin terlibat supaya ahli politik terbabit mengubah kesetiaan mereka.

“Ahli politik yang melompat parti mengkhianati kepercayaan pengundi.

“Mereka mendapat jawatan susulan sokongan rakyat. Mereka harus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat, bukan kepentingan sendiri,” kata presidennya Muhammad Mohan kepada FMT.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, beliau menyokong idea SPRM menyiasat ahli politik yang “melompat parti”.

Beliau berkata, perlu ada usaha di peringkat nasional bagi mengatasi masalah sistemik ini atau Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal.

“Malaysia perlu menangani masalah ini dan usaha bersama perlu ada bagi menghentikannya,” katanya.

Santiago berkata, pihak berkuasa perlu sedar bahawa rasuah merupakan masalah yang melibatkan semua orang.

Semalam, Hamid, yang kontrak perkhidmatannya tamat Isnin depan berkata, SPRM perlu menyiasat insiden lompat parti dan tidak membiarkan perkara itu kepada polis semata-mata.

Beliau berkata, ia penting kerana wujud keperluan bagi memulihkan nilai politik di negara ini.

“Apa yang saya takut (jika rasuah politik tidak dibendung)…polis akan digunakan untuk mencapai kepentingan politik. Itu tidak mustahil,” kata Hamid yang akan digantikan oleh timbalannya Acryl Sani Abdullah Sani pada Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.