
Katanya, Idrus Harun, yang juga pendakwa raya, boleh menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Prosedur Jenayah untuk mengadakan inkuiri bebas bagi mengetahui keadaan yang menyebabkan kematian mangsa ketika dalam tahanan.
“Peruntukan ini memberi kuasa kepada pendakwa raya dalam kes kematian, seperti Ganapathy, untuk mengarahkan inkuiri dengan tujuan mengambil tindakan, jika ada keperluan,” tulisnya dalam Facebook.
Ganapathy meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April lalu, hanya sebulan selepas dia dimasukkan ke wad.

Peguam keluarganya dilaporkan berkata, ahli patologi mengesahkan dia meninggal dunia akibat kecederaan di kaki dan bahu, ketika berada dalam tahanan polis.
Ibu Ganapathy, S Thanaletchumy dalam laporan polis terdahulu berkata, anaknya memberitahu dia dipukul dengan paip getah oleh polis
Semalam, Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata, tiada bukti menunjukkan Ganapathy dipukul ketika dalam tahanan polis.
Bagaimanapun, Gobind berkata, ini perlu ditentukan inkuiri bebas, dengan keluarga mangsa juga berhak didengari.
“Undang-undang tersebut digubal bertujuan menangani keadaan seperti ini.
“Tidak ada sebab untuk tidak menggunakan peruntukan undang-undang ini dan ianya harus digunakan sewajarnya untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk Ganapathy.
“Kerajaan juga tidak boleh berdiam diri dalam perkara ini. Menteri dalam negeri juga perlu bersuara,” kata Ahli Parlimen DAP itu.