Kes naik mendadak, Kg Bergosong di Tawau bawah PKPD mulai esok

Kes naik mendadak, Kg Bergosong di Tawau bawah PKPD mulai esok

Sebanyak 22 kes positif telah direkodkan dalam tempoh satu minggu, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Bergosong di Tawau, Sabah bermula esok hingga 15 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di kampung tersebut susulan berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 59 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 22 kes positif telah direkodkan dalam tempoh satu minggu,” kata beliau hari ini.

Ismail turut memaklumkan, PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan, yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan selama 14 hari lagi, iaitu sehingga 16 Mei.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 866 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 422 kes positif telah direkodkan,” kata beliau.

Sementara itu, PKPD di dua institusi pendidikan di Kota Kinabalu, Sabah tamat seperti yang dijadualkan, iaitu SMKA Kota Kinabalu pada hari ini dan Kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) esok.

Dalam perkembangan lain, polis menahan 286 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Daripada jumlah itu, 284 individu dikompaun manakala dua lagi direman, kata Ismail.

Antara kesalahan terbabit adalah gagal merekod butiran diri atau mendaftar masuk premis, aktiviti pusat hiburan, tidak memakai pelitup muka, dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.