Kerajaan kaji semula perintah gaji minimum 2020 supaya kekal relevan, kata Muhyiddin

Kerajaan kaji semula perintah gaji minimum 2020 supaya kekal relevan, kata Muhyiddin

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa prihatin berhubung isu gaji minimum.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bakal kaji semula perintah gaji minimum 2020 supaya kekal relevan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan sedang menjalankan kajian semula perintah gaji minimum 2020 dalam usaha memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio ekonomi semasa.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sentiasa prihatin berhubung isu gaji minimum.

“Saya berharap dan menyeru semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan,” katanya, dalam ucapan sempena sambutan Hari Pekerja 2021 hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga dalam proses untuk menambah baik dan meminda undang-undang pekerjaan, antaranya Akta Kerja 1955.

Katanya, antara langkah yang diambil ialah memperluaskan skop pemakaiannya kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji.

Gaji minimum yang mula berkuat kuasa dari Februari tahun lepas ialah RM1,200 bagi pekerja di Semenanjung dan RM1,000 di Sabah dan Sarawak. Ia bagaimanapun tidak meliputi pembantu rumah.

“(Selain itu) memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti paterniti selama 3 hari, menambah baik amalan kerja dan kehidupan lebih seimbang (work life balance) melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam, selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel,” katanya.

Muhyiddin berkata sehingga 16 April, seramai 30,377 orang berjaya mendapat pekerjaan melalui program Permohonan Kerja Jangka Pendek atau MySTEP.

Katanya, daripada jumlah itu, 27,503 pemohon ditempatkan di sektor awam, manakala 2,874 orang ditempatkan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan strategiknya.

“Inisiatif ini disasarkan untuk mengurangkan jumlah pengangguran, khususnya dalam kalangan lepasan universiti dan anak muda kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.