
Dalam satu kenyataan yang dipetik Berita Harian, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu sekitar jam 1.11 pagi.
“Sepasukan sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata sebaik tiba, pihaknya mendapati kebakaran itu membabitkan sebuah kereta Mercedes yang terjatuh dan terbabas ke laluan bertingkat (flyover) lebuhraya berkenaan.
“Selepas selesai memadam kebakaran, kita dapati empat mangsa yang tidak dikenal pasti identiti dan jantina dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Tambahnya, kemalangan itu mengakibatkan kereta terbabit terbakar 100%.
“Kita berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.