Polis tahan pengasuh dan suami disyaki bunuh bayi 9 bulan

Polis tahan pengasuh dan suami disyaki bunuh bayi 9 bulan

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dan cedera di bahagian dubur bayi berkenaan, kata polis.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari, kata polis.
PETALING JAYA:
Seorang pengasuh wanita dan suaminya ditahan polis selepas disyaki membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pasangan berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di pangsapuri Jalan PJU 1A/42 di sini pada 8 malam tadi.

“Pada mulanya polis menerima maklumat daripada seorang doktor hospital kerajaan mendakwa menerima bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Bayi itu dibawa seorang lelaki dipercayai suami pengasuh, pada 7 malam hari kejadian.

“Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dan cedera di bahagian dubur mangsa,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Fakhrudin berkata, pasangan suami isteri itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut, hasil maklumat yang diterima.

Difahamkan, semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod berkaitan dadah.

Kata Fakhrudin, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.