
Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan di Kuching, Samarahan dan Serian Jonathan Chai berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyediakan latihan bagi meningkatkan profesionalisme guru.
Bercakap kepada FMT beliau juga berkata, beban pentadbiran guru juga perlu dikurangkan sekarang bagi membolehkan mereka memfokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
“Berikan guru lebih masa untuk menyediakan bahan pelajaran dan menilai pelajar bagi memeriksa tahap pencapaian mereka,” katanya.
“Selain itu, nisbah pelajar-guru juga harus dikekalkan pada paras ideal 25:1, yang kini sukar dicapai susulan kesesakan sekolah di kawasan bandar.”
Beliau mengalu-alukan langkah kerajaan menghapuskan UPSR dengan berkata, penamatan pendekatan pengajaran berorientasi peperiksaan adalah baik untuk sistem pendidikan.
Beliau berkata, penilaian berasaskan sekolah boleh terus dijalankan serta tindakan intervensi dan pemulihan diambil serta-merta bila perlu.
Chai bagaimanapun menjangkakan reaksi bercampur-campur daripada ibu bapa dengan berkata, sesetengah mereka cenderung untuk melihat peperiksaan UPSR sebagai penanda aras bagi mengukur tahap pembelajaran anak masing-masing.
“Sebilangan yang lain berasa UPSR masih relevan dan wajar dikekalkan kerana peperiksaan itu akan memotivasi murid untuk belajar lebih tekun, malah membantu guru komited kepada tugas mereka.
“Terdapat juga ibu bapa yang ragu-ragu dan bersikap skeptikal berhubung objektiviti guru dalam menjalankan penilaian mereka.
Chai berkata, KPM mesti bersedia untuk meningkatkan profesionalisme guru dalam menjalankan penilaian dan bertanggungjawab memantau pelaksanaan dasar itu.
Pada 28 Apr lepas, KPM mengumumkan pemansuhan peperiksaan UPSR dan pembatalan peperiksaan PT3 bagi tahun ini.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, kementerian akan memperkenalkan kaedah alternatif untuk menilai murid yang sepatutnya mengambil dua peperiksaan utama itu.
Beliau berkata, tiada peperiksaan ganti akan diadakan.