
Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Mohd Isa Bidin berkata mangsa Dhenis Maulida Puteri Masari, 7, ditemui sekitar 7.30 malam semalam kira-kira 100 meter daripada lokasi kejadian manakala adiknya Puteri Ramadhania Azzahra, 3, ditemui kira-kira 7.30 pagi tadi.
“Kedua-dua mangsa ditemui oleh orang kampung berkenaan dalam keadaan terapung dengan mayat Puteri Ramadhania Azzahra dijumpai kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pada 11.15 pagi itu, ibu mereka yang hanya dikenali sebagai Liswati, 37, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan itu selepas mengambil Dhenis Maulida Puteri di Sekolah Kebangsaan Keratong 1.
Motosikal yang dinaiki mereka dikatakan hilang imbangan kira-kira lima meter lagi menuju ke tebing menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh, sebelum dua mangsa kanak-kanak itu terjerumus ke dalam sungai.
Ibu terbabit terselamat selepas tersangkut di jaring.