
Pengerusi Pusat Hak Asasi Manusia Sabah, Sherzali Asli berkata, kerajaan perlu memahami peluang ekonomi di daerah pantai timur negeri itu adalah lebih kecil berbanding semenanjung.
Bagaimanapun, katanya, peraturan yang dikenakan di luar bandar Tawau jauh lebih ketat berbanding di Selangor dan Kuala Lumpur, pusat bandar yang jauh lebih padat dan kompleks.
“Perniagaan (di Kuala Lumpur dan Selangor) dibenar berniaga sehingga tengah malam dan orang ramai boleh makan di restoran dengan SOP yang ketat,” katanya kepada FMT.

“Betul, malah peniaga yang menjual pakaian dan keperluan Hari Raya dibenar berniaga sehingga jam 2 pagi.
“Ini jelas menunjukkan kurangnya kepercayaan terhadap Tawau, yang kurang membangun dan mempunyai populasi yang jauh lebih kecil berbanding Selangor dan KL.
“Tawau dan banyak lagi daerah di bawah PKPD tidak boleh diperlakukan seperti anak angkat terutama berkaitan pelaksanaan SOP untuk zon merah.
“Penduduk di Sabah, khususnya, Tawau, terdesak dan kerajaan tidak boleh menggunakan kerangka sama digunakan di semenanjung di sini dan mengharapkan ia berfungsi.”
Sherzali berkata, akibatnya dua kampung di Tawau telah mengadakan demonstrasi susulan PKPD di kawasan mereka dilanjutkan. Peniaga turut menyuarakan kurangnya peluang perniagaan akibat garis panduan ketat itu.
Kampung yang dimaksudkan adalah Kampung Muhibbah Raya dan Kampung Baru Pasir Putih.
Bagaimanapun, kerajaan Sabah menamatkan PKPD di kampung kedua itu semalam selepas berlaku tunjuk perasaan di sana.
Katanya, kerajaan perlu memberi kebebasan kepada penduduk Tawau dan banyak kawasan di bawah PKPD untuk menjalankan perniagaan mereka, dengan SOP yang sesuai bagi membolehkan mereka bertahan dalam keadaan yang cukup mencabar ini.
“Kerajaan perlu menangani situasi dari sudut kemanusiaan dan realistik.
Ya, virus itu boleh membunuh anda, begitu juga kelaparan.
Laksanakan sekatan jika kerajaan rasakan perlu, tetapi jangan sampai penduduk di Tawau, khususnya kawasan di bawah PKPD, semakin hilang hak mereka untuk mencari rezeki,” katanya.

Adun Merotai Warisan, Sarifuddin Hatta bersetuju dengan permintaan peniaga makanan Tawau baru-baru ini agar kerajaan membenarkan makan di kedai walaupun daerah itu berada di bawah PKP. PKP dijadual berakhir esok.
Sarifuddin berkata dia telah bertemu dengan vendor yang menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan yang sah semata-mata untuk bertahan.
“Peniaga ini telah berkali-kali didenda oleh pihak berkuasa tempatan kerana menjual barang mereka tanpa permit tetapi mereka tidak kisah selagi dapat menjana sedikit pendapatan,” katanya kepada FMT.
“Mereka menjual kelapa, kepak ayam dan nasi kuning di tepi jalan untuk mencari nafkah buat keluarga.
“Ramai di antara mereka pernah mempunyai pekerjaan yang baik sebelum ini. Kini mereka beralih kepada perniagaan ini untuk bertahan.
Sarifuddin berkata, kerajaan perlu membenarkan perniagaan berjalan seperti biasa walaupun PKP dilanjutkan tetapi dengan SOP yang lebih ketat.
“Beri peluang kepada warung untuk beroperasi tetapi, mereka juga perlu patuh kepada SOP. Jika tidak, kenakan denda yang sesuai untuk pelanggaran yang mereka lakukan.
“Saya yakin mereka sedar mengenai peraturan itu dan memahami mereka akan dihukum kerana melanggarnya.
“Mereka akan menerima SOP yang lebih ketat asalkan diberi peluang untuk mencari rezeki,” katanya.
Sarifuddin berkata, rakyat tidak akan mengharapkan bantuan daripada kerajaan sekiranya mereka dapat berusaha untuk terus hidup.
“Tetapi jika anda menyekat aktiviti perniagaan dan tidak memberi mereka bantuan yang diperlukan, maka banyak masalah akan timbul.”