Memanglah saya bersuara, itu anak saya, kata Indira kepada KPN

Memanglah saya bersuara, itu anak saya, kata Indira kepada KPN

Wanita itu tidak dapat menerima alasan Abdul Hamid Bador bahawa beliau mengganggu usaha menjejaki anak perempuannya.

Menurut M Indira Gandhi, KPN sepatutnya memberitahunya apa yang perlu dibuat untuk memastikan anaknya kembali ke pangkuannya.
PETALING JAYA:
M Indira Gandhi, yang masih berusaha mendapatkan semula anak perempuannya yang dilarikan bekas suami, menyelar kenyataan Abdul Hamid Bador bahawa beliau dan kumpulan lain mengganggu usaha menjejaki kanak-kanak itu.

Indira, yang mendapat hak penjagaan anaknya daripada Mahkamah Persekutuan, menyangkal dakwaan ketua polis negara (KPN) yang bakal bersara itu bahawa bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah menghilangkan diri kerana “takut” dengan kenyataan-kenyataan dikeluarkan wanita itu serta NGO berhubung kes berkenaan.

Bercakap kepada FMT, Indira berkata, sudah pasti beliau bersuara kerana kes itu melibatkan anaknya, Prasana Diksa, malah mahkamah telah mengarahkan polis memastikan kanak-kanak itu dikembalikan kepadanya.

Katanya, beliau tidak faham bagaimana Riduan, yang memeluk Islam selepas meninggalkannya, “takut” dengan kenyataan media dikeluarkannya atau NGO yang membantunya.

Beliau menyifatkan kenyataan dan sikap ditunjukkan Hamid itu sebagai mengecewakan.

“Saya tidak faham kenapa beliau memerlukan masa begitu lama untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Jika benar ada perkembangan positif, kenapa beliau tidak menemui saya?” soalnya.

Menurutnya, KPN sepatutnya memberitahunya apa yang perlu dibuat untuk memastikan anaknya kembali ke pangkuannya.

Tambah Indira, NGO yang membantunya sekadar memberi nasihat berkenaan kes itu.

“Kenyataan Hamid tidak adil, dan semua orang tahu perkara ini. Kami tidak pernah mengugut Riduan. Kami tidak pernah menyentuh isu agama. Kenapa perlu takut?”

“Sekarang kita lihat apa yang akan dikatakan KPN baharu mengenai isu itu,” kata beliau, merujuk kepada Acryl Sani Abdullah yang akan menggantikan Hamid mulai Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.