
Pengarah eksekutifnya Cynthia Gabriel berkata, tindakan keras juga perlu diambil ke atas anggota polis terlibat “kartel” kerana ia memberi kesan buruk ke atas imej agensi penguatkuasaan itu.
“Sebelum ini, bekas KPN, Hamid cuba mendedahkan maklumat yang membimbangkan tentang aktiviti rasuah dalam kalangan anggota polis.
“Kami memuji keberanian Hamid berusaha membanteras rasuah secara besar besaran dalam pasukan polis.

“Kami juga mengucapkan tahniah kepada Acryl Sani dan berharap tugas baharu yang dipikulnya akan mengutamakan siasatan terhadap “kartel” yang didakwa bergerak secara aktif dalam kalangan anggota.
“Selain itu, perlu ada tindakan keras dan serius bagi menamatkan aktiviti sebegini yang memburukkan imej polis dalam kalangan rakyat,” katanya kepada FMT.
Cynthia berkata, pihaknya sebelum ini sangat berharap kontrak Hamid disambung bagi membolehkan beliau menyudahkan usahanya merungkai aktiviti rasuah, termasuk dalam kalangan anggota.
Kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) juga mahu KPN baharu terus membongkar isu dalaman yang membabitkan anggota polis, termasuk isu “kartel”.
Pengarah eksekutifnya Sevan Doraisamy berkata, Acryl perlu meneruskan usaha Hamid dengan mendesak kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
“Isu pembersihan korupsi dalaman (polis) yang dibongkar oleh Hamid, adakah ia akan disambung oleh KPN baharu?

“Sangat penting bagi beliau mengembalikan kepercayaan kepada polis.
“Walaupun KPN lama tidak keluarkan nama-nama (anggota polis) yang terlibat, KPN baharu boleh bongkarkan nama-nama tersebut dan terangkan rancangannya untuk teruskan usaha ini?
“Langkah yang diambil oleh KPN lama jelas menunjukkan perlunya IPCMC di negara ini,” katanya.
Sevan berkata, beliau bimbang usaha Hamid dalam membanteras jenayah rasuah dan “kartel polis” terjejas selepas kepimpinan baharu pasukan itu dilantik.
“Paling penting ialah sejauh manakah KPN baharu menanganinya? Keberanian KPN lama harus diambil iktibar untuk membersihkan pasukan polis.
“Bukan sahaja kes rasuah dan korupsi dalaman, malah banyak isu harian lain, termasuk kematian dalam tahanan, penyiksaan dalam tahanan, penyalahgunaan kuasa dan tahanan tanpa bicara.
“Paling penting ialah mengadakan perjumpaan dengan pemegang taruh serta badan berkepentingan ke arah penambahbaikan pasukan polis,” katanya.
Hamid sebelum ini mendedahkan kewujudan sekumpulan pegawai polis lebih muda yang membentuk kartel bagi mendominasi pasukan dan menjatuhkan beliau untuk kepentingan mereka sendiri.
Acryl, yang juga timbalan KPN, dilantik sebagai KPN baharu berkuat kuasa 4 Mei menggantikan Hamid yang akan bersara pada 3 Mei ini.