Tak sempat pakai baju raya, budak 7 tahun maut digilis lori

Tak sempat pakai baju raya, budak 7 tahun maut digilis lori

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat dilanggar lori arang batu selepas terjatuh dari motosikal ditunggang neneknya.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah bersama nenek dan sepupunya.
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun tidak sempat memakai baju raya yang dibeli ibunya, setelah maut dalam kemalangan di Kilometer 172, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Neram, Kemaman, Terengganu.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Felda Neram 1, Muhammad Nur Rifqi, meninggal dunia di tempat kejadian akibat dilanggar lori arang batu selepas terjatuh dari motosikal ditunggang neneknya, lapor Utusan Malaysia.

Sebelum kejadian, mangsa bersama neneknya, Sapor Mad Zin, 59, dan seorang lagi sepupu, Ton Muhammad Shafiq Ilham Ton Mohd Ali, 7, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru Felda Neram 1 dari ladang berhampiran.

Bapanya, Khairilamru Abdul Rani, 36, yang terkilan tidak sempat melihat anak keduanya memakai beberapa helai baju-T dan seluar sempena Hari Raya yang dibeli isterinya, Nor Hidayah Ramli, 28, minggu lalu.

“Saya terima panggilan daripada ibu mentua memaklumkan mereka kemalangan dan apabila sampai saya terkejut tengok anak kami sudah tiada.

“Angah paling rapat dengan isteri dan anak sulung. Sebelum ini dia pernah cakap tidak sabar nak beraya di kampung dan mahu duduk lama di sana sepanjang cuti sekolah sebab ada ramai sepupu untuk bermain,” katanya.

Khairilamru berkata, seluruh ahli keluarga terutama isteri yang sedang hamil lima bulan, masih terkejut dengan pemergian sekelip mata anaknya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.