Susah payah menjual kapal layar Jho Low

Susah payah menjual kapal layar Jho Low

Sitpah Selvaratnam yang mengetuai pasukan peguam yang menjual kapal layar Equanimity mengimbas penelitian, syak wasangka dan dan kebimbangan yang dilaluinya.

KUALA LUMPUR:
Apabila kapal layar mewah Equanimity disita di perairan Indonesia pada 2018, ramai melihatnya sebagai obor harapan dalam lautan suram skandal rasuah 1MDB.

Kapal layar tersebut, yang sebelum itu dimiliki oleh ahli perniagaan yang diburu Jho Low, merupakan penemuan awal kerajaan Malaysia dalam usahanya mendapatkan semula aset yang dibeli menggunakan dana yang diseleweng.

Peguam Sitpah Selvaratnam, yang mengetuai pasukan undang-undang yang menjual kapal berkenaan, mengimbas kembali dalam temu bual dengan FMT bagaimana kes “unik” itu akhirnya diselesaikan dan semangat patriotisme yang dirasai oleh beliau dan pasukannya sewaktu mereka mengemudi kes paling berliku dalam sejarah negara itu.

Sitpah, yang dilantik oleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk memantau kes tersebut berkata, minat yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap kes itu sangat menggalakkan.

“Seluruh negara berada di belakang kami,” katanya.

“Malah pakcik yang memandu saya ke kapal itu sewaktu ia ditempatkan di Langkawi tersenyum lebar dalam perjalanan kami ke lokasi. Beliau beranggapan dirinya juga termasuk dalam ‘misi menyelamat’ itu.”

Ia perjalanan sukar bagi Sitpah dan pasukan enam orangnya. Beliau terpaksa berdepan dengan penelitian media dan orang ramai, pembeli yang ragu-ragu dan juga ancaman daripada Low Taek Jho atau Jho Low yang mungkin muncul secara tiba-tiba.

Penilaian bebas menetapkan harga Equanimity pada USD130 juta.

Sitpah berkata, usaha menarik minat terhadap aset besar itu bukan kerja mudah kerana tidak ramai orang yang bersedia membelanjakan wang sebanyak itu. Selain itu, pasaran aset terpakai menyaksikan hanya 20 jualan yang melepasi tanda harga USD100 juta.

“Pada asasnya kami cuba menarik para jutawan supaya menyertai tawaran terbuka,” katanya.

“Ia seperti meminta keluarga diraja berbaris untuk makan malam.”

Semakin memburukkan keadaan ialah dua lagi jualan kapal layar, iaitu Indian Empress dan Natita, baharu diselesaikan masing-masing pada harga USD42 juta dan USD27.5 juta.

“Jadi tanggapan orang ramai bahawa tanda harga USD130 juta itu terlalu tinggi. Ramai yang percaya mereka boleh membeli Equanimity pada harga jauh lebih rendah.”

Ia akhirnya dijual kepada Genting Malaysia Berhad pada harga USD126 juta pada 2019. Sitpah berkata, hanya terdapat beberapa tawaran yang melebihi USD100 juta.

“Rasa saya, tawaran kedua paling dekat ialah USD115 juta. Jika tidak silap, ia diterima daripada seorang pembeli dari Timur Tengah.”

Di sudut lain ialah “tawaran menjengkelkan” di bawah harga USD50 juta yang menurutnya dibuat oleh pihak yang mahu mencuba nasib.

Sitpah berkata, komplikasi lain ialah Jho Low sendiri.

“Walaupun beliau tidak membuat (tawaran), namun kami perlu sentiasa bersedia sekiranya beliau tiba-tiba muncul pada bila-bila masa.

“Beliau boleh mendakwa menggunakan wangnya sendiri atau wang itu tidak dicuri atau kapal itu bukan hadiah, tetapi diperoleh kerana nilainya. Jadi kami harus sentiasa bersedia untuk menangani soalan tersebut.”

Katanya, persoalan lain ialah kebimbangan pembeli sama ada Jho Low akan muncul selepas mereka membeli kapal tersebut untuk membuat tuntutan, atau sama ada mereka akan mendapat hak milik bersih.

“Mereka membangkitkan pelbagai kebimbangan dan masalah untuk menekan harga. Namun kami bertegas untuk tidak berganjak daripada USD130 juta.”

Sitpah mengingat semangat berpasukan yang dirasai olehnya dan lima anggota pasukan yang lain. Mereka terbang ke serata dunia dalam usaha membuat jualan.

“Ia tugas besar yang didorong oleh perpaduan dan kegembiraan. Kami melakukannya untuk Malaysia baharu dan matlamat yang lebih besar daripada diri kami sendiri.”

Bukunya bertajuk, “Arrest of the Superyacht Equanimity: How Malaysia Reclaimed What Was Hers” yang memperincikan kes tersebut dan cabaran yang dihadapi beliau boleh dibeli di lamanweb: www.sitpahselvaratnam.com.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.