
Mereka berkata kurangnya kemaskini daripada Kementerian Pendidikan (KPM) seolah-olah menjadikan mereka lepasan sekolah menengah yang dilupakan.
Pelajar terbabit sepatutnya menduduki peperiksaan SPM tahun lalu, namun disebabkan pandemik Covid-19, peperiksaan itu ditangguhkan selama tiga bulan.
Seorang daripada mereka, Nurul Rifayah yang juga aktivis pelajar dari Selangor berkata, sukar untuk rakan seangkatannya merancang menyambung pengajian tanpa mengetahui bila keputusan SPM dijangka keluar.
“Pengambilan seterusnya untuk beberapa universiti luar negara adalah pada Julai,” katanya.
“Sesetengah rakan saya sudah memohon memasuki universiti ini menggunakan keputusan ramalan, bagaimanapun bagi memastikan mereka menerima tawaran secara rasmi, keputusan peperiksaan sebenar diperlukan.”
Beberapa universiti swasta juga menerima keputusan peperiksaan percubaan, tetapi Nurul menyatakan terdapat beberapa sekolah yang membatalkan peperiksaan percubaan selepas terjejas dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) Oktober lalu.
“Bagi pelajar yang terjejas, keputusan ramalan yang boleh diberikan adalah daripada peperiksaan ketika mereka di Tingkatan Empat,” katanya. “Ia sudah tentu sangat sukar bagi mereka.”
Bagi calon SPM beberapa tahun sebelum ini, kebiasaannya keputusan rasmi diumumkan pada Mac.
Peperiksaan SPM 2020 ditunda sebanyak dua kali sebelum akhirnya dilaksanakan pada Februari. Peperiksaan pusingan kedua pula disusun khusus kepada calon yang diuji positif Covid-19 atau calon yang dikuarantin, hanya selesai Jumaat lalu.
Di Kedah, Mohamad Yusof Luqman berkata, pada awalnya dia dan rakan-rakannya merancang untuk bekerja sambilan sementara menunggu keputusan SPM diumumkan.
“Tetapi keadaan sekarang tidak boleh dijangka,” katanya. “Jika kami tahu bila keputusan akan keluar, kami boleh maklumkan majikan berapa lama kami boleh bekerja.
Dia berkata ramai pelajar yang bertanya kepada KPM untuk memberikan jangkaan tarikh bila keputusan akan dikeluarkan.
“Orang kena faham kami bukannya menuntut kertas ditanda dengan cepat dan kami juga tidak meminta tarikh yang khusus.”
Tambahnya, dia ada mendengar khabar angin bahawa keputusan mungkin akan diumumkan pada Julai atau Ogos.
Menurut Justin Cheng Tye Wai dari Ipoh, banyak majikan yang meminta pelajar untuk menunjukkan sijil berhenti sekolah ketika memohon kerja.
“Perkara ini mustahil,” katanya. “Syarat semasa untuk mendapatkan sijil berhenti adalah lulus peperiksaan.
“Saya tak boleh mencari apa-apa perkejaan sambilan atau kerja tetap kerana ini.”
Katanya, dia bimbang lonjakan kes terkini Covid-19 akan menyebabkan KPM memanjangkan lagi penangguhan untuk mengumumkan keputusan peperiksaan.