Kenapa diam isu kematian, penderaan dalam tahanan, tanya kumpulan belia

Kenapa diam isu kematian, penderaan dalam tahanan, tanya kumpulan belia

Sebanyak 18 organisasi belia mengkritik kekurangan komen daripada kerajaan dan polis susulan kematian A Ganapathy baru-baru ini.

Dalam kes terbaru, A Ganapathy meninggal dunia 18 April lalu, selepas lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi Hospital Selayang.
PETALING JAYA:
Beberapa kumpulan belia mempersoalkan tindakan kerajaan dan polis mendiamkan diri berhubung isu kematian dan penderaan dalam tahanan, yang timbul semula susulan kematian A Ganapathy baru-baru ini.

Ganapathy, 40, dikatakan ditahan polis selama 12 hari dari 24 Feb hingga 8 Mac lalu, sebelum dimasukkan ke hospital.

Dia meninggal dunia 18 April lalu, selepas lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi Hospital Selayang.

Ibunya mendakwa Ganapathy dalam keadaan sihat ketika ditahan 24 Feb lalu bagi membantu siasatan ke atas seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis, tetapi dipukul polis semasa dalam tahanan.

Dalam satu kenyataan bersama yang disokong 18 organisasi belia, kumpulan itu menyuarakan solidariti terhadap keluarga Ganapathy dan menyelar kekurangan kenyataan rasmi berhubung kematiannya serta tahanan lain sepertinya.

“Kami menyuarakan kebimbangan kami kerana tidak ada komen daripada kerajaan atau polis mengenai kes ini dan penderaan berinstitusi secara umum, walaupun menerima tekanan daripada rakyat.

“Keengganan kerajaan menangani masalah ini secara holistik dan efektif hanya menyebabkan pelanggaran hak sivil. Oleh itu ia adalah tindakan tidak dapat diterima daripada kerajaan yang sekarang memiliki kuasa perundangan meluas ketika darurat.”

Kenyataan itu ditandatangani beberapa organisasi belia seperti Undi18, Youths.my dan Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak.

Kumpulan itu berkata, “tindakan mendiamkan diri pelbagai pihak” menghakis kepercayaan masyarakat terhadap polis, oleh itu mereka menggesa sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan salah laku polis kerana tak masuk akal untuk pelanggaran ini dipantau polis sendiri.

Mereka juga menyokong gesaan terdahulu untuk mengadakan inkuiri umum ke atas kematian Ganapathy, serta penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menyiasat tuduhan terhadap polis.

Selasa lalu, Naib Presiden MIC, C Sivarraajh berkata, jumlah kes serupa menunjukkan keperluan untuk badan bebas itu ditubuhkan.

“Ini salah satu cara untuk mangsa mendapat keadilan dan menambah baik imej polis.”

Minggu lalu, NGO hak asasi manusia, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) menggesa Jabatan Peguam Negara mengadakan inkues bagi mencari punca kematian Ganapathy di bawah Seksyen 339 Kanun Prosedur Jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.