
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Mohd Harun, berkata jenaka berunsur seksual dan mempersenda fizikal harus dihentikan.
“Dalam apa jua situasi sekalipun, perkara sedemikian tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan jenaka kerana perbuatan rogol itu adalah perbuatan jenayah yang sama sekali tidak wajar menjadi satu galakan kepada anak murid.
“Tindakan seperti ini termasuk perlakuan menyalahkan mangsa adalah amat tidak wajar dinormalisasi kerana ia memberikan satu mesej yang tidak sihat kepada masyarakat dan dikhuatiri akan menyumbang kepada perlakuan jenayah,” katanya, menurut laporan Bernama.
Rina berkata, orang dewasa perlu mempunyai kesedaran mengenai batas percakapan terutama ketika berkomunikasi agar emosi kanak-kanak yang sedang mengikuti sesi pembelajaran tidak terganggu dengan akhlak dan perlakuan guru mereka.
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan gangguan seksual dan pelanggaran hak serta kebajikan kanak-kanak.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan supaya golongan itu bebas daripada segala unsur negatif melalui langkah advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.
“Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual juga sedang digubal dan dalam penelitian akhir pihak kerajaan untuk memastikan penguatkuasaan akta dan peraturan yang lebih baik dapat dilaksanakan,” katanya