
Mukhriz bersetuju dengan Zafrul bahawa skandal kewangan global itu menambah tekanan terhadap kewangan negara, terutama ketika wabak Covid-19 melanda.
Katanya, wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk membayar kos vaksin. Bagaimanapun, katanya, disebabkan “penjarahan” 1MDB, kerajaan terpaksa menambah hutang dengan meminjam atau menggunakan dana simpanan negara.
“Namun beliau (Najib) begitu lancang mencadangkan wang yang diperoleh daripada pelbagai pihak yang kononnya benefisiari 1MDB sepatutnya cukup untuk melunaskan hutang itu,” katanya dalam kenyataan.
Mukhriz turut menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya pengakuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan semakin kehabisan wang, sedangkan mempunyai bajet persekutuan berjumlah RM322.5 bilion yang diluluskan Parlimen serta RM300 bilion lagi mengikut Ordinan Darurat.
“Kini lebih sukar untuk menguruskan gelombang Covid-19 yang berpanjangan dan menyakitkan, yang dicetuskan pilihan raya di Sabah,” katanya.
Anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu turut menyoal Putrajaya kenapa RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) diperlukan dalam memerangi pandemik Covid-19, serta pelan imunisasi kebangsaan.
Pada 26 April, kerajaan berkata ia terpaksa berbuat demikian kerana sudah semakin kehabisan wang terutama disebabkan skandal 1MDB.
“Ini tidak masuk akal. Bagaimana kepentingan kewangan negara kita dilindungi ketika merundingkan terma mendapatkan vaksin?” kata Ahli Parlimen Jerlun itu.
Pada 26 April, Najib berkata Pakatan Harapan atau kerajaan Perikatan Nasional tidak membayar balik sesen pun hutang pokok 1MDB berjumlah RM32.3 bilion walaupun kerajaan telah menerima penyelesaian tunai berjumlah RM33.4 bilion.
Katanya, wang diterima kerajaan hasil bayaran balik dan penyelesaian tuntutan sepatutnya cukup untuk membayar hutang pokok 1MDB.
Najib ketika itu mengulas komen Zafrul bahawa hutang 1MDB itu antara sebab kerajaan terpaksa menggunakan KWAN untuk pembelian vaksin Covid-19.