Berikan tarikh jelas pelaksanaan Undi-18, kata Bersih 2.0

Berikan tarikh jelas pelaksanaan Undi-18, kata Bersih 2.0

Kumpulan pembaharuan pilihan raya itu berkata, ini akan membolehkan orang ramai turut memantau pelaksanaannya.

Bersih 2.0 menggesa tarikh jelas untuk pelaksanaan Undi-18 diberikan agar rakyat dapat menilai dan memantau pengurusan pengendalian pelaksanaannya.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memberikan tarikh jelas untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun, susulan pengumuman bahawa Kabinet bersetuju pelaksanaannya dilakukan ‘secepat mungkin.’

Menteri undang-undang de facto Takiyuddin Hassan hari ini berkata, susulan keputusan dalam mesyuarat Kabinet semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini mesti menyelesaikan beberapa isu teknikal dan perundangan bagi memastikan golongan 18 tahun ke atas dapat mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam kenyataan, Bersih 2.0 berkata, Takiyuddin “perlu memberi tarikh jelas untuk pelaksanaan Undi-18” agar rakyat dapat menilai dan memantau pengurusan pengendalian pelaksanaannya.

Menurutnya, kenyataan bahawa ia akan dilaksanakan ‘dalam tempoh terdekat’ kabur dan tidak meyakinkan.

Lewat bulan lalu, SPR berkata pelaksanaan usia mengundi yang lebih rendah akan ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya September 2022.

Beliau ketika itu memberi sebagai alasan, pandemik dan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan di negara ini.

Susulan itu Bersih 2.0 mempertikaikan perubahan pendirian ‘mengejut’ kerajaan.

“Adakah sebelum ini kerajaan sengaja ingin melambatkan pelaksanaan Undi-18, dan menghalang hak anak muda berumur 18 tahun untuk mengundi?

“Adakah pengerusi SPR juga mengikut arahan Kabinet untuk melengahkan pelaksanaan Undi-18?” soal kumpulan itu.

Menurutnya, perkara itu mencetuskan persoalan sejauh mana SPR masih badan bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.