
Kurator Taman Botani Pulau Pinang, Saw Leng Guan memberitahu FMT bahawa pokok dengan akar yang disekat konkrit adalah bom jangka yang boleh mengakibatkan lebih banyak kematian.
Semalam, sebatang pokok angsana gergasi tumbang di Jalan Perak di sini menghempap bumbung sebuah kenderaan ketika hujan lebat mengakibatkan pemandu kenderaan yang berusia 53 tahun maut.
Saw berkata, pokok-pokok besar dan tua yang dipindahkan dari lokasi asalnya untuk menghiasi jalan bandar adalah berisiko untuk tumbang kerana ruang di sekitarnya akan diturap, yang tinggal hanya ruang kecil di sekitar batang dan hampir tidak ada ruang untuk akar tumbuh.
“Kami melihat ini sebagai bom jangka dan kejadian seperti yang berlaku di Jalan Perak ini akan berulang,” katanya.
“Akar pokok hidup mesti mempunyai syarat yang diperlukan untuk pertumbuhan yang sihat.
Pokok yang tumbang dalam kejadian di Jalan Perak itu telah dipindahkan ke lokasi itu tiga tahun lalu.
“Pokok besar, sepatutnya tidak boleh dipindahkan,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa tidak berunding dengan “orang yang tahu mengenai pokok itu” sebelum menanam semula pokok itu.
Beliau berkata, cara terbaik adalah dengan membiarkan pokok tua dan besar bersendirian dan fokus untuk membuat dasar baharu bagi melindunginya.
Apa yang jelas katanya, akar pokok di Jalan Perak tidak boleh berkembang dan oleh itu ia tidak mempunyai cengkaman.
Beliau juga berkata, akar pokok itu juga telah dipangkas.
“Pokok besar seperti ini mesti mendapat sokongan untuk mengembangkan akar. Apabila berlaku pembesaran jalan, kamu tidak boleh terus menggergaji sistem penyokong pokok. Ia mungkin bertahan untuk seketika, ia kemudian mereput. Akar tidak akan dapat menahan berat pokok dan akan tumbang.
“Kami memerlukan undang-undang baharu untuk melindungi pokok-pokok ini.
“Buka semua turapan, biarkan semuanya berumput,” katanya.
Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman pula meminta siasatan dijalankan berhubung insiden di Jalan Perak.
Beliau berkata, kejadian itu perlu menjadi peringatan kepada pihak berkuasa tempatan untuk berhenti menebang pokok dan melakukan pemeriksaan rapi terhadap pokok-pokok lama supaya langkah keselamatan dapat diambil.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader berkata, dewan bandar raya perlu melakukan pemeriksaan berkala ke atas semua pokok tua dan menyimpan profil setiap pokok dalam pangkalan data.
“Jika pokok itu dipindahkan dan ditanam semula , ia perlu diperiksa dengan lebih kerap,” katanya,
“Ada cara untuk menjaga pokok yang lebih tua. Anda boleh melakukan belahan pada akarnya supaya kekal kuat.”
Aktivis Lim Mah Hui dari Penang Forum berkata, sudah tiba masanya untuk kita melihat pokok sebagai satu aset penting.
“Pokok berperanan sebagai fungsi ekologi penting dalam mengurangkan pemananasan global,” katanya.