APMM tahan 5 nelayan warga Myanmar

APMM tahan 5 nelayan warga Myanmar

Sebuah bot nelayan kelas C dalam keadaan mencurigakan kira-kira 9.15 pagi di sekitar perairan Pulau Jarak.

APMM mendapati bot dikendalikan oleh lima kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 21 hingga 31 tahun dan empat daripada kru terbabit tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. (Gambar Bernama)
LUMUT:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan lima kru warga Myanmar bersama sebuah bot nelayan tempatan kerana disyaki menangkap ikan di zon larangan serta menggunakan pukat tunda, kira-kira 6.2 batu nautika barat daya Pulau Jarak.

Pengarahnya, Shahrizan Raman berkata Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Pulau Jarak mengesan sebuah bot nelayan kelas C dalam keadaan mencurigakan kira-kira 9.15 pagi Selasa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot dikendalikan oleh lima kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 21 hingga 31 tahun dan empat daripada kru terbabit tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Manakala, seorang lagi kru memiliki permit yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan.

Shahrizan berkata semua kru serta bot yang ditahan itu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Semua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di zon yang dilarang dan menggunakan pukat tunda, serta Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.