Tak perlu bayar sesen pun, kes kompaun pelajar kerana pelitup muka selesai

Tak perlu bayar sesen pun, kes kompaun pelajar kerana pelitup muka selesai

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamaruddin berkata ini susulan perbincangan dengan pihak relevan.

Kes itu tular di media sosial pada 19 April lalu selepas enam pelajar berkenaan dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Kes terhadap enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng yang sebelum ini dikenakan kompaun akibat tidak memakai pelitup muka telah diselesaikan apabila mereka langsung tidak perlu membayar apa-apa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamaruddin dipetik Bernama berkata, ini susulan pertemuan antara pihaknya dengan pihak kolej, Pusat Kesihatan Kampar dan Pengarah Kesihatan Perak baru-baru ini.

“Kes itu telah selesai dan pelajar terbabit tidak perlu membayar satu sen pun saman (kompaun) yang dikenakan kepada mereka jadi pelajar tidak perlu runsing.

“Saya juga menemui salah seorang bapa pelajar (itu) dan memberitahu kes telah selesai.

“Saya membantu menyelesaikan masalah mereka kerana mereka akan menghadapi peperiksaan, saya tidak mahu pelajaran mereka terganggu,” katanya dipetik Bernama selepas melawat Klinik Kesihatan Selama di sini hari ini.

Pada 19 April lepas, tular di media sosial enam pelajar berkenaan dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak memakai pelitup muka.

Tindakan itu menerima kritikan netizen kerana pelajar terbabit dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan dan tidak dibenarkan keluar.

KKM dikatakan mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada beberapa pelajar yang tidak memakai pelitup muka atau meletakkannya di bawah dagu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.