Perlu ikut garis panduan bila keluar kompaun, kata Takiyuddin

Perlu ikut garis panduan bila keluar kompaun, kata Takiyuddin

Kesalahan gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori 3 yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000.

Peniaga burger yang beroperasi di depan rumahnya terkejut apabila dikompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi masa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kota Bharu, Kelantan.
PETALING JAYA:
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan (Undang-Undang) berkata, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, berdasarkan garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori 3 yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000.

“Pesalah pula diberikan kadar pengurangan sebanyak 50% sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari dan 25% sekiranya dalam tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu susulan laporan tular seorang peniaga burger di Kelantan yang dikompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi masa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Takiyuddin berkata, kerajaan menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta 342 untuk dijadikan panduan kepada pihak penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan SOP yang ditetapkan.

“Segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang adalah semata-mata bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku agar semua pihak individu mahupun peniaga sama-sama bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dalam komuniti yang masih lagi berada di peringkat kritikal dan serius,” katanya.

FMT semalam melaporkan seorang peniaga burger yang beroperasi di depan rumahnya terkejut apabila dikompaun RM50,000.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, berkata dia didatangi lima pegawai polis kira-kira 11 malam kelmarin ketika menyiapkan tempahan untuk dihantar kepada pelanggan sekitar rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.