Peniaga burger dikompaun RM50,000 rayu tak dikenakan denda

Peniaga burger dikompaun RM50,000 rayu tak dikenakan denda

Rayuan dibuat di Pejabat Daerah Kesihatan Kota Bahru awal pagi tadi.

Semalam, cerita Faisal yang berniaga burger di depan rumah dikompaun RM50,000 kerana dikatakan beroperasi melebihi masa ketika PKP tular di media sosial.
PETALING JAYA:
Peniaga burger yang dikompaun RM50,000 kerana dikatakan beroperasi melebihi masa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu supaya tidak dikenakan sebarang denda.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, dalam rayuan yang dibuat awal pagi tadi menyatakan dua alasan iaitu pertama, terpaksa berniaga lebih masa di bulan Ramadan memandangkan waktu boleh berniaga yang terlalu singkat; dan kedua, ketika kejadian tiada seorang pun pelanggan di gerainya.

“Malah pada ketika itu, saya sedang siapkan tempahan untuk dihantar rumah ke rumah bagi pelanggan yang membuat tempahan,” katanya kepada FMT.

“Setakat ini kami tunggu pemakluman daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana mereka akan hantar rayuan itu kepada Jabatan Peguam Negara. Saya harap permohonan saya diterima.”

Beliau turut memaklumkan sejak semalam dan hari ini pelbagai pihak menawarkan bantuan termasuk khidmat guaman, daripada NGO, parti pemerintah, pembangkang, dan kerajaan Kelantan.

“Ramai datang nak bagi bantuan…saya ucapkan terima kasih kepada semua,” katanya.

Wan Mohd Faisal berharap isu ini tidak dijadikan modal politik.

“Buatlah ia sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak berulang di masa akan datang, termasuk kepada peniaga lain; dikenakan kompaun pada jumlah yang tidak munasabah dan bersesuaian dengan perniagaan dilakukan,” katanya.

Semalam, cerita Faisal yang berniaga burger di depan rumah dikompaun RM50,000 kerana dikatakan beroperasi melebihi masa ketika PKP tular di media sosial.

Beliau didatangi polis pada kira-kira 11 malam pada Ahad, ketika menyiapkan tempahan pelanggan di sekitar rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, berkata kompaun bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, berdasarkan garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori 3 yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000 dan boleh dirayu sehingga 50%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.