
Beliau berkata kompaun yang dikenakan pihak berkuasa itu adalah satu pengajaran kepadanya termasuk peringatan untuk memandang berat terhadap SOP ditetapkan kerajaan.
“Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa.
“Juga peringatan buat saya dan semua yang terlibat pada majlis kahwin saya untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP,” katanya di Twitternya.
Neelofa juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama baik dalam menguruskan kes membabitkan dirinya.
“Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian,” katanya.
Terdahulu, Neelofa dan suaminya, Haris masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 atas kesalahan melanggar SOP PKPB.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata, tiada diskaun dibenarkan bagi dua kesalahan membabitkan majlis pernikahan pasangan itu dan kebenaran untuk merentas negeri.
Semua ahli keluarga Neelofa iaitu 20 orang akan dikenakan kompaun RM1,5000 seorang kerana gagal mematuhi peraturan penjarakan fizikal sewaktu majlis akad nikah berlangsung.
Kompaun akan diberikan kepada semua individu terbabit hari ini dengan jumlah keseluruhan RM60,000.
Pada 27 Mac lalu, Neelofa, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 32, selamat diIjabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Isu pelanggaran SOP pada majlis itu timbul selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP PKP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).