
Bukit Aman juga mengeluarkan transkrip sidang media bagi menunjukkan apa yang sebenarnya dikatakan oleh timbalan KPN itu.
Dalam satu kenyataan, pihaknya berkata, polis memandang serius laporan yang dibuat.
“Pihak media mempunyai tanggungjawab untuk mengelak persepsi salah terbentuk dalam kalangan masyarakat, sebelum proses siasatan diselesaikan,” katanya.
Kenyataan itu merujuk kepada dua laporan yang diterbitkan pada 26 April di portal Malaysiakini bertajuk “Deputy IGP describes rape threat against teen as ‘maybe’ a joke” (Timbalan KPN sifatkan ugutan rogol terhadap remaja ‘mungkin’ gurauan), dan tajuk laporan China Press bertajuk “Pelajar wanita dihina, diugut rogol, Acryl Sani: Rakan sekelas mungkin bergurau”.
Berikut adalah transkrip sidang media yang dikeluarkan oleh Bukit Aman dalam kenyataan:
SOALAN WARTAWAN (tidak jelas didengar)
Minit: 09.20 – 09.31
TIMBALAN KPN
Minute 09.31 – 10.39
“Setakat ini yang saya diberitahu, pelajar berkenaan telah membuat dua laporan polis. Yang pertama …berkaitan dengan apa yang beliau rasakan, pendekatan guru tersebut tidak begitu ‘proper’.
“Dan yang kedua, malam semalam beliau juga membuat laporan tambahan, berkaitan dengan mungkin gurauan daripada rakan sedarjahnya yang beliau tidak dapat terima.”
Kenyataan itu menambah, tajuk laporan yang diterbitkan oleh dua portal berita itu “amat mengelirukan” dan gagal memberi gambaran tepat mengenai kenyataan yang sebenarnya dibuat sewaktu sidang media.
“Tajuk laporan yang hanya merujuk kepada sebahagian respons dan menggambarkannya sebagai intipati kenyataan, merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat, mencemar kredibiliti siasatan polis,” tambahnya.
Kenyataan itu menyatakan lebih lanjut, kedua-dua laporan dibuat oleh pelajar tersebut disatukan dalam satu siasatan, dan inni turut termasuk mengambil kenyataan daripada saksi.
“Kita telah pun ambil keterangan daripada guru sekolah tersebut, daripada pengadu juga kita sudah ambil keterangan.
“Sekarang ini pegawai-pegawai penyiasat sedang giat mengambil rakaman percakapan daripada rakan-rakan sedarjah untuk dijadikan keterangan tambahan dan sokongan, untuk kita kemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, ia memandang serius laporan berita yang diterbitkan oleh Malaysiakini dan China Press berhubung kenyataan Acryl Sani tersebut.
“Sehubungan itu, KDN akan memanggil pihak Malaysiakini dan China Press dengan segera untuk mendapatkan penjelasan serta maklumat lanjut berhubung laporan-laporan media tersebut,” katanya.
Pada 24 April, video seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang menceritakan bagaimana guru pendidikan jasmaninya mempersendakan rogol dalam kelas pada hari sebelumnya, mula tular di media sosial.
Menjawab video remaja itu di Twitter, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menggesa pengetua sekolah itu memandang serius perkara berkenaan dan menyiasat dakwaan pelajar terbabit.